Sunday, October 11, 2015

Pemuda AMANAH terus seru PKR tinggalkan PAS

Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) menyeru rakan sekutunya PKR supaya meninggalkan PAS sekaligus konsisten mengukuhkan gabungan baru pembangkang demi mengalahkan BN pada pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Faiz Fadzil berkata PKR sepatutnya terus mengukuhkan Pakatan Harapan daripada terus mahu bekerjasama dengan PAS yang didakwanya pernah mengkhianati parti itu pada pilihan raya umum lalu.

Katanya, PKR perlu mengingati kembali bagaimana PAS menolak pencalonan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor, meletakkan calon di 5 kerusi yang ditandingi PKR dan menolak untuk mengarahkan ahli memberikan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwat II.

"Bersediakah PKR untuk dikhianati lagi oleh PAS. Apakah jaminan PAS akan komited untuk mengelak pertandingan 3 penjuru di kerusi yang ditandingi PKR?

"Adakah PAS bersetuju untuk menerima Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri walaupun sedar mereka tidak mampu mencadangkan calon yang setanding Anwar Ibrahim?

"Adakah PAS akan menjunjung persetujuan untuk berpegang kepada dasar bersama yang akan dirangka?" soal Faiz yang juga anak lelaki bekas presiden PAS Datuk Fadzil Nor.

Faiz mengulas kenyataan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali yang percaya partinya akan terus mendapat kerjasama daripada PAS walaupun parti itu tidak menyertai Pakatan Harapan.

Menteri besar Selangor berkata, PKR akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang mempunyai agenda sama termasuk PAS atau mana-mana parti lain sekali pun.

Menulis dalam Facebooknya hari ini, Faiz turut menasihati PKR supaya mengingati pesan Rasulullah SAW supaya umat Islam tidak "dipatuk ular dalam lubang yang sama dua kali".

Menurutnya lagi, usaha mengukuhkah Pakatan Harapan adalah efisyen berbanding asyik mengajak PAS bersama gabungan pembangkang itu sedangkan parti Islam telah menolaknya.

Menurutnya lagi, pemimpin yang mempertahankan Pakatan Rakyat dahulu adalah pimpinan AMANAH sekarang.

"PAS mampu menabur pasir ke dalam periuk nasi dan kesannya Pakatan Harapan akan dihukum rakyat jika ia berlaku menjelang pilihan raya umum kelak jika PAS bertindak di luar dasar bersama atau bertindak bertentangan dengan perjanjian yang dibuat.

"Masa untuk rakyat menghadapi PRU ke-14 semakin hampir. Sekarang adalah masa untuk Pakatan Harapan mengukuhkan perpaduan di antara semua parti koalisi ini di semua peringkat.

"Sekarang adalah masa untuk Pakatan Harapan menyiapkan dasar bersama. Logo yang satu bagi Pakatan Harapan hendaklah dirangka segera bagi mendapat kelulusan segera daripada ROS," katanya.

Sehubungan itu, Faiz mengingatkan PKR supaya tidak membiarkan kemarahan rakyat kepada PAS "berjangkit" kepada PKR malah jika Pakatan Harapan rapuh, BN akan terus berkuasa, rakyat akan merana kerana ditipu lagi.

"Usahlah yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran. Membujur lalu melintang patah, menjatuhkan Barisan Nasional memerlukan pasukan Pakatan Harapan yang kukuh, kuat dan berdaya saing.

"PAS akan terus istiqamah dengan pengkhianatan, jadi apa lagi yang PKR harapkan?" soal Faiz yang juga seorang peguam.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-