Wednesday, October 14, 2015

PM gesa ulama hapus ideologi keganasan, ekstrimis

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata usaha membanteras keganasan tidak mencukupi setakat menumpaskan kumpulan militan dan ekstremis, tetapi idea keganasan dan ideologi yang dianuti mereka juga perlu dihapuskan.

Berucap sempena Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Masjid Negara, di Kuala Lumpur, pagi ini, katanya, ulama dan profesional di negara ini perlu proaktif menjelaskan maksud Islam sebenar bagi menangkis idea keganasan dan gerakan ekstremis di negara ini.

"Realitinya, usaha pembanterasan keganasan dan militan yang hanya tertumpu kepada kumpulan dan ekstremis, tetapi membiarkan idea dan ideologi mereka terus hidup tanpa dirawat, hanya akan menyaksikan kehilangan satu kumpulan militan, tetapi sebenarnya akan disusuli pembentukan kumpulan militan lain," katanya.

Najib juga meminta golongan berkenaan supaya tampil mengetengahkan pelan tindakan, strategi dan program yang boleh dilaksanakan kerajaan bagi tujuan merawat dan mematikan ideologi dan idea keganasan.

"Kita berdepan dengan idea-idea keganasan dan gerakan ekstremis dan gerakan ini boleh membawa kesan buruk kepada dunia Islam,(mengenai) bagaimana umat Islam yang seakidah boleh dihalalkan pembunuhan mereka," katanya.

Najib turut meminta para ulama dan profesional supaya menggunakan segala medium yang ada bagi memberi penjelasan tentang apa yang terkandung dalam ajaran Islam yang sebenar khususnya kepada generasi muda.

Katanya penjelasan mengenai Islam harus dikupas satu persatu bagi mengelak kekeliruan kerana Islam bukan merupakan agama yang memusuhi agama lain.

Sambutan bertemakan 'Perpaduan Nadi Transformasi Negara' itu julung kali diadakan di Masjid Negara sempena jubli emas masjid berkenaan dan kedudukannya sebagai mercu tanda Islam di negara ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-