Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Saturday, October 17, 2015

Ramai Melayu tak setuju pentadbiran Najib, menurut tinjauan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menghadiri persidangan Asean mengenai Wanita dalam Politik di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, hari ini. Kajian dijalankan Merdeka Center menunjukkan hanya 31% pengundi Melayu menyokong Putrajaya di bawah pimpinan Najib yang merupakan penurunan besar berbanding kajian sebelumnya. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 17 Oktober, 2015.

Satu tinjauan bebas mendapati terlalu ramai pengundi Malaysia menolak kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika ini, dengan bilangan orang Melayu yang tidak berpuas hati juga semakin meningkat, lapor Singapore Straits Times hari ini.

Menurut tinjauan kebangsaan yang dijalankan Merdeka Center pada Ogos itu, hanya 31% pengundi Melayu menyokong Putrajaya, satu penurunan besar daripada 52% yang direkodkan pada Januari.

Tahap penerimaan kebangsaan ketika tinjauan Ogos adalah pada 23%, turun daripada 38% pada Januari.

Masyarakat Cina juga melahirkan rasa tidak puas hati, mencatatkan hanya 5% penerimaan terhadap pentadbiran Najib, berbanding 11% pada Januari.

Kajian itu dijalankan beberapa minggu selepas rombakan Kabinet pada hujung Julai, apabila Najib menggugurkan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seorang lagi menteri, Datuk Seri Shafie Apdal.

Menurut akhbar Singapura itu, keputusan kaji selidik itu dibentangkan Merdeka Center kepada penganalisis sektor kewangan minggu lepas.

Badan bebas itu berkata, ia juga menunjukkan majoriti tinggi juga kecewa dengan cara kerajaan menangani ekonomi dengan hanya 17% menyatakan persetujuan mereka.

Kira-kira 78% tidak berpuas hati dengan kerajaan berhubung keadaan ekonomi.

Ini disebabkan terutamanya oleh isu-isu seperti kos sara hidup, pengangguran dan kesan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), yang berkuat kuasa pada April.

Prestasi ringgit juga menjadi faktor penyumbang, sebagai mata wang paling teruk di Asia tahun ini.

Kajian Merdeka Center itu secara konsisten sebelum ini menunjukkan rakyat Malaysia lebih mengambil berat isu kos sara hidup, pekerjaan dan perumahan berbanding politik.

Dalam kaji selidik Januari, 62% responden menyatakan mereka paling prihatin tentang isu tersebut dibandingkan hanya 3% yang melahirkan kebimbangan mengenai isu politik.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/ramai-melayu-tak-setuju-pentadbiran-najib-menurut-tinjauan#sthash.SeVYTyCF.dpuf