Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Saturday, October 10, 2015

Salleh sanggah Dr Mahathir

Shakira Buang 
Dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Malaysia dilihat dunia sebagai sebuah negara "pariah" kerana sesiapa sahaja boleh ditangkap, disoal siasat dan ditahan adalah tidak berasas.

Ini kerana, menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak, segala tindakan diambil kerajaan bukan dibuat sesuka hati.

"Tuduhan itu tidak berasas sama sekali. Apa pun yang kita lakukan adalah mengikut peraturan sedia ada.

"Apabila seseorang itu ditahan mengikut undang-undang Sosma sudah tentulah ada asasnya dan kita tidak sesuka hati mengambil tindakan apabila kita asas-asas kukuh," kata bekas Ketua Menteri Sabah itu kepada pemberita di Putrajaya sebentar tadi.

Dr Mahathir yang juga bekas perdana menteri keempat semalam meneruskan serangan terhadap Datuk Seri Najib Razak apabila menulis dalam blog dengan mendakwa Malaysia kini dilihat oleh dunia sebagai sebuah negara "pariah" apabila sesiapa sahaja boleh ditangkap, disoal siasat dan ditahan serta didakwa dengan menyalahgunakan undang- undang negara.

Kenyataan tersebut ditulis Dr Mahathir susulan penahanan bekas pemimpin Umno, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya, Matthias Chang mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) kerana membuat laporan antarabangsa mengenai syarikat sarat hutang 1MDB.

Dalam tulisan terbarunya bertajuk 1MDB Cleared, Dr Mahathir membidas penahanan itu sambil berkata ia bertujuan mewujudkan ketakutan kepada rakyat apabila tindakan melaporkan salah laku kerajaan dan pegawainya dianggap mengancam keselamatan negara.

Mengulas lanjut, Salleh berkata semasa pentadbiran Mahathir, bekas perdana menteri itu juga menegaskan adalah menjadi tanggungjawab kerajaan menjaga keselamatan negara.

Justeru, tegas Ahli Parlimen Kota Belud itu sebarang penahanan bukan bermotifkan politik semata-mata seperti mana yang didakwa oleh Dr Mahathir.

"Kita harus membuat penyiasatan kepada mana-mana pihak yang bertujuan mengganggu-gugat kestabilan politik negara, itu yang paling penting, kerana penekanan kita adalah keamanan Malaysia" tegas Salleh.