Wednesday, October 7, 2015

Selepas Bersih isytihar kutipan, Saiuddin soal butiran RM2.6 bilion

Bekas timbalan menteri Umno Datuk Saifuddin Abdullah, mempersoalkan adakah butiran berhubung wang RM2.6 bilion dalam akaun peribadi presiden parti Datuk Seri Najib Razak kini akan didedahkan selepas Bersih 2.0 mengisytiharkan sumbangan yang diterimanya daripada orang ramai. – Gambar fail The Malaysian Insider, 6 Oktober, 2015.

Datuk Saifuddin Abdullah hari ini mempersoalkan adakah butiran berhubung wang RM2.6 bilion dalam akaun peribadi presiden parti Datuk Seri Najib Razak kini akan didedahkan selepas Bersih 2.0 mengisytiharkan jutaan ringgit yang diterimanya daripada sumbangan orang ramai.

Bekas timbalan menteri Umno itu, yang juga antara pengkritik lantang perdana menteri, menimbulkan perkara tersebut dalam posting di akaun Facebook miliknya, menerima ribuan “Like” dan ratusan perkongsian daripada pengguna media sosial.

"Battle of 2.6! Bersih 4 dah bentang akaun: Penerimaan: RM2,647,361.74 (dpd 27,000 penderma, & jualan t-shirt & mafla). Perbelanjaan: RM664,052.52. Baki: RM1,983,309.22 akn diguna utk program2 2 thn akn dtg (pendidikan pengundi, kos mahkamah, latihan dsb)...RM2.6 bilion?" katanya dalam posting itu.

Kumpulan reformasi pilihan raya tersebut hari ini mengisytiharkan akaun dan perbelanjaan dari RM2.6 juta sumbangan yang diterimanya untuk perhimpunan Bersih 4 yang diadakan pada akhir bulan Ogos.

Mengumumkan lebihan RM1.9 juta selepas ditolak RM664,052 dalam perbelanjaan untuk perhimpunan 34 jam itu, Bersih 2.0 turut mencabar Najib mengisytiharkan sumbangan RM2.6 bilion yang didakwa diterima daripada dermawan Timur Tengah itu.

Menurutnya, kira-kira 27,000 penderma menyumbang kepada Bersih 2.0 untuk perhimpunan pada 29 dan 30 Ogos itu yang menuntut perubahan demokratik dan peletakan jawatan Najib berhubung dakwaan skandal kewangan yang membabitkan beliau.

Turut diserahkan kepada juruaudit untuk tujuan semakan ialah penyata bank setebal 2,126 halaman.

Perisytiharan itu dibuat lebih kurang sebulan selepas perhimpunan tersebut. Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah sebelum ini berjanji kumpulan pemantau pilihan raya itu akan mengisytiharkan akaunnya selepas menerima sejumlah besar wang yang tidak pernah terjadi sebelum ini.

Najib dan beberapa pemimpin Barisan Nasional sebelum ini menuduh Bersih tidak mengisytiharkan akaun mereka.

Mengulangi gesaan kepada Najib supaya mengisytiharkan perincian “derma” RM2.6 bilion itu, Bersih 2.0 berkata hari ini, kewibawaan perdana menteri akan "lenyap" jika beliau gagal berbuat demikian.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/selepas-bersih-isytihar-kutipan-saifuddin-soal-butiran-rm2.6-bilion#sthash.OmmXTQwd.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-