Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Monday, October 12, 2015

Shafie: Henti hina rakyat, heret pesalah 1MDB ke mahkamah

Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal hari ini, mengikut jejak langkah Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, menggesa tindakan undang-undang diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab berkaitan kegagalan 1MDB.

Beliau berkata walaupun 1MDB sedang melalui proses rasionalisasi hutang, negara terpaksa membayar harga yang mahal melalui sentimen ekonomi yang teruk.

Menurutnya, kenyataan 1MDB bahawa aset yang dimiliki syarikat itu melebihi hutang, dan ini bukan satu kebimbangan dianggap "penghinaan kepada kebijaksanaan rakyat Malaysia".

Ini kerana, kata MP Semporna itu, hutang tersebut telah terkumpul kerana jaminan kerajaan dan kedudukan 1MDB selaku anak syarikat milik penuh kerajaan.

"Kegagalan 1MDB untuk membayar hutang berkenaan akan memaksa kerajaan untuk 'step in' dan menanggung hutang ini.

"Walaupun rasionalisasi hutang 1MDB sedang berjalan, ia tidak harus menidakkan hakikat bahawa aktiviti perniagaan 1MDB telah gagal sehingga memaksa ia menjual aset kerajaan yang diperolehi dengan harga murah dan berlakunya pemindahan dana berbilion ringgit yang masih belum dijelaskan hingga hari ini.

"Ketiadaan ketelusan dan tadbir urus inilah yang menyebabkan berlakunya krisis keyakinan rakyat terhadap parti dan kerajaan pada masa kini. Mereka yang bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan dan memohon maaf kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Minggu lalu, Muhyiddin menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mendengar persidangan perintah Majlis Raja-Raja bahawa siasatan 1MDB disegerakan dan pihak yang bertanggungjawab, jika ada, dihukum.

Muhyiddin dan Shafie disingkirkan daripada kabinet sewaktu rombakan kabinet pada Julai tetapi masih memegang jawatan mereka dalam Umno.