Monday, October 19, 2015

Sistem berparlimen Westminster: Undi tidak percaya mesti didahulukan

KUALA LUMPUR 19 OKT: Usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang bakal dibawa Ahli Parlimen pembangkang pada sidang Dewan Rakyat hari ini, mesti didahulukan berbanding usul lain.

Justeru, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong membantah perbuatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said yang meletakkan usul itu di tempat ke-25 daripada keseluruhan 28 usul.

Menggariskan tiga sebab kukuh kepentingan usul itu, beliau berkata, ia selaras dengan sistem berparlimen Westminster amalan Malaysia yang meletakkan kesahihan sesebuah kerajaan bergantung kepada mandat dari Parlimen.
“Jika pentadbiran sedia ada gagal untuk mengekalkan mandat dari Ahli Parlimen, sesebuah kerajaan itu hendaklah sama ada meletak jawatan atau membubar Parlimen.

“Sidang itu tidak boleh berlangsung seperti biasa. Satu-satunya cara untuk menguji sama ada mandat itu wujud, sama ada sesebuah kerajaan itu sahih, ia mendahulukan usul undi tidak percaya seawal mungkin,” katanya pada kenyataan media hari ini.

Kata Steven, tiga sebab itu ialah pertikaian kesahihan belanjawan, sesebuah kerajaan yang tiada mandat tidak boleh membuat keputusan penting dan ketetapan sebelum ini menunjukkan usul undi tidak percaya didahulukan berbanding usul lain.

“Jika usul tidak percaya itu tidak dibenarkan, saya menyeru semua Ahli Parlimen dari kedua-dua pihak – pembangkang atau kerajaan menolak semua usul yang dibawa sebagai tanda menolak pentadbiran Najib.

“Sidang kali ini menguji integriti semua Ahli Parlimen terhadap tanggungjawab kita kepada rakyat dan negara. Kita tidak boleh mengecewakan rakyat yang menderita akibat pentadbiran rejim ini,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian memberi notis kepada parlimen untuk membentang usul tidak percaya terhadap Najib dan ia sudah disenarai dalam kertas aturan mesyuarat pada susunan ke-25 tetapi wujud kemungkinan ia tidak sempat dibentang pada sidang kali ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-