Wednesday, October 21, 2015

Speaker mahu lihat senarai sokongan sebelum benarkan undi tak percaya dibahas

OLEH DIYANA IBRAHIM
Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia bercakap kepada media di lobi Parlimen, hari ini. Beliau memaklumkan, sesiapa sahaja boleh membawa usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri tetapi perlu mengikut peraturan mesyuarat 26 dan 27 dan ia memerlukan notis. Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 21 Oktober, 2015.

Pihak pembangkang sepatutnya menghantar senarai ahli Parlimen yang menyokong undi tidak percaya terhadap Datuk Seri Najib Razak sebagai salah satu cara untuk meluluskan usul tersebut di Dewan Rakyat, kata Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Speaker Dewan Rakyat itu berkata, sekiranya pihak pembangkang menghantar senarai tersebut, beliau boleh mempertimbangkan kemungkinan usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri dibahaskan.

"Siapa sahaja boleh membawa usul tersebut, namun perlu ikut peraturan mesyuarat 26 dan 27 dan ia perlu notis.

"Kalau itu dipenuhi, maka kita boleh letak dalam peraturan mesyuarat tetapi tidak semestinya setiap usul, terutama yang dibawa bukan kerajaan akan dapat dibahas.

"Kerana kita kena lihat peraturan mesyuarat 15," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Pandikar berkata Parlimen tidak mempunyai masalah untuk meluluskan usul itu sekiranya segala peraturan Dewan dipenuhi.

Bagaimanapun beliau berkata, tidak semestinya usul undi tidak percaya itu perlu dibawa ke Dewan untuk diundi dengan memberi contoh apa yang berlaku di Sabah.

"Setakat ini saya masih menunggu senarai pembangkang di atas meja saya kerana saya tahu mereka ada 89 sahaja.

"Apabila senarai mereka yang mungkin mencecah 90 atau 100 mungkin saya boleh tekan kepada kerajaan untuk bahas," katanya.

Semalam Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pihaknya akan tetap memfailkan usul tersebut, tidak kira sama ada diterima atau ditolak speaker.

Menurut Pandikar, melalui peraturan mesyuarat, mana-mana usul yang ingin dibawa ke dalam perbahasan di Dewan Rakyat perlu dikemukakan 14 hari sebelum Parlimen bersidang.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/speaker-mahu-lihat-senarai-sokongan-sebelum-benar-undi-tak-percaya-dibahas#sthash.vHO8hZ5y.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-