Saturday, October 17, 2015

Sungguh sepi menjadi sederhana dalam Umno, kata Saifuddin

OLEH EILEEN NG
Walaupun gagal melakukan pembaharuan dalam Umno, Datuk Saifuddin Abdullah yakin parti itu masih boleh diselamatkan jika masalah kepimpinan dapat diatasi memandangkan ia masih mempunyai ramai ahli yang bagus. Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 17 Oktober, 2015.

Menjadi antara segelintir bersuara sederhana dalam Umno membuatkan bekas pemimpin parti Melayu itu, Datuk Saifuddin Abdullah, berasa "sungguh sepi".

"Perkataannya ialah, sepi. Sungguh sepi," katanya kepada The Malaysian Insider dalam satu temu bual, sambil mengakui beliau tidak mendapat sokongan yang diperlukan daripada parti pemerintah itu.

Sebagai contoh, bekas ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata, beliau sebelum ini menyokong idea Gerakan supaya Barisan Nasional (BN) menjadi sebuah parti tunggal.

Beliau mengetengahkan perkara itu dalam mesyuarat Majlis Tertinggi parti dan menulis mengenainya, serta menyerahkan tulisannya itu kepada pengerusi Datuk Seri Najib Razak.

"Walaupun tidak menerima jawapan 'tidak', saya tidak melihat ia terjadi," katanya.

Isu lain yang menurut Saifuddin satu perbezaan ketara antara BN dan Pakatan Harapan ialah pilihan raya tempatan.

Beliau yang baru menyertai PKR itu berkata, terdapat percubaan di negeri Pakatan Harapan iaitu Pulau Pinang dan Selangor, untuk mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT), dengan Pulau Pinang mengambil pendekatan undang-undang manakala Selangor meletakkan ahli bukan politik dalam majlis tempatan sebagai sebahagian daripada pentadbirannya.

"Jadi, wujud contoh yang jelas di mana Pakatan Harapan cuba membawa pembaharuan tetapi dalam Umno dan BN, jangan haraplah, kita tidak akan melakukannya," katanya.

Insiden ini, ditambah pula dengan kurangnya perbincangan mengenai dasar awam pada mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, membuatkan bekas timbalan menteri pengajian itu membuat kesimpulan yang parti terdahulunya itu tidak berminat melakukan pembaharuan.

Saifuddin berkata, sebelum ini bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim, yang pernah bersama Umno, cuba melakukan reformasi terhadap parti tetapi mereka gagal.

"Sekarang saya tidak tahu siapa yang akan melakukannya.

"Dulu kita sebut nama-nama seperti KJ, Rahman Dahlan dan Nur Jazlan," katanya menamakan menteri Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Datuk Nur Jazlan Mohamed yang dianggap progresif dalam Umno.

"Sekarang saya tidak pasti sama ada masih ada golongan sederhana yang tinggal, dengan yang 3 orang ini pun, saya tak pasti."

Walaupun beliau gagal melakukan pembaharuan dalam Umno, Saifuddin berkata ia tidak bermakna parti itu tidak dapat diselamatkan.

"Umno sebagai sebuah parti bukan satu isu, masih ada ahli yang bagus dalam Umno. Masalahnya ialah kepimpinan. Saya memilih untuk keluar tetapi ia tidak bermakna parti itu tidak boleh berubah. Tolong teruskan perubahan dari dalam," katanya.

Beliau berkata Najib bermula sebagai seorang pemimpin yang sederhana dan progresif tetapi berubah selepas "trauma" pilihan raya umum (PRU) pada 2013 di mana beliau dipengaruhi penasihatnya untuk percaya yang BN akan berjaya.

Bagaimanapun, BN gagal mendapat majoriti dua pertiga dalam PRU13 yang menyebabkan Najib menyimpulkan keputusan itu sebagai "tsunami Cina".

"Sesetengah kenyataan beliau akhir-akhir ini tidak menggambarkan Najib sebagai pemimpin sederhana seperti yang kita kenali satu masa dulu.

"Dan apabila beliau mengakui RM2.6 bilion itu adalah sumbangan derma dan beliau berpendapat ia okay, itu bukan Najib yang sama ketika melancarkan GTP, di mana salah satu daripada NKRA ialah untuk memerangi rasuah," katanya, merujuk kepada singkatan untuk Program Transformasi Kerajaan dan Bidang Keberhasilan Utama Negara.

"Oleh itu, sama ada PM sudah berubah, atau ada terlalu banyak paradoks," kata Saifuddin.

Beliau yang akan melepaskan jawatannya sebagai ketua pegawai eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) itu berkata, beliau selama ini menjelajah ke seluruh dunia atas kapasitinya mengetuai GMM yang menggalakkan kesederhanaan.

Kebelakangan ini katanya, orang kenamaan asing menemui beliau dan mula bertanya mengenai mesej berbeza yang dibawa Malaysia di dalam dan luar negara.

"Para diplomat bertanya kepada saya, adakah anda 'doublespeak' (bercakap berlapik)? Apabila bercakap pada forum antarabangsa, anda membawa suara kesederhanaan tetapi di tanah air, suaranya berbeza," kata mereka.

"Saya sering menerima soalan seperti itu sejak akhir-akhir ini. Mereka bertanya dengan cara yang berbeza tetapi kata kuncinya sama, 'doublespeak'.

"Saya menyifatkan ini sesuatu yang agak luar biasa kerana kita semua tahu, dasar luar bermula di tanah air. Dan akhirnya satu hari nanti, orang akan bertanya, adakah anda mengamalkan 'doublespeak'."

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/sungguh-sepi-menjadi-orang-yang-sederhana-dalam-umno-kata-saifuddin#sthash.iAPPXITG.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-