Tuesday, October 6, 2015

TPPA Cetus Kebimbangan Orang Ramai

KUALA LUMPUR: Selepas hampir lima tahun rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) diadakan, nampaknya kini rundingan tersebut memasuki fasa terakhir yang mana pada peringkat ini, semua negara TPPA perlu membuat keputusan yang sukar.

Terbaharu, perjanjian tersebut telah pun dipersetujui oleh Malaysia bersama 11 lagi negara lain termasuk Amerika Syarikat, Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam dalam satu mesyuarat di Atlanta, Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, kerajaan dilihat tetap mengambil pendirian tegas dalam rundingan berkenaan dalam usaha memastikan perlembagaan, kedaulatan dan dasar-dasar utama seperti agenda bumiputera terus terpelihara.

Namun, persepsi negatif dan kebimbangan rakyat khususnya terhadap isi kandungan tersebut terus menghantui.

Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Madya, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff dalam kenyataannya yang dimuat naik di laman Facebook hari ini mengajak orang ramai agar menyuarakan pandangan mereka sebelum rundingan perjanjian TPPA dibentangkan dan dibahas di Parlimen.

“Dua faktor utama yang menyumbang kepada kebimbangan ini. Pertama, risau sekiranya kita akan berada di bawah telunjuk AS.

“Kedua, risau kerana kandungan dokumen TPPA tersebut tidak didedahkan kepada umum terlebih dahulu,” katanya.

Kata Agus, perbincangan mengenai perjanjian tersebut tidak hanya berfokus kepada keburukan, malah ia perlu juga dilihat dari sudut kebaikan sekiranya perjanjian tersebut dipersetujui oleh Malaysia.

“Syarikat Malaysia akan menikmati akses pasaran kepada semua negara ahli, sesuatu yang diperlukan untuk membolehkan syarikat kita berdaya saing.

“Kita mampu menarik pelaburan asing untuk datang melabur di negara kita,” jelasnya.

Selain itu, Agus turut menyenaraikan beberapa implikasi yang mungkin terpaksa dihadapi negara sekiranya gagal menyertai TPPA.

“Hilang kredibiliti sebagai negara pasaran bebas; Ketinggalan kepada Singapura dan Vietnam sebagai negara pilihan pelabur dalam konteks ASEAN; pelaburan yang sedia ada di Malaysia mungkin berpindah ke negara lain.

“Ketiadaan pelabur merugikan peluang pekerjaan yang diperlukan oleh rakyat kita; Syarikat kita yang berdagang di luar negara seperti Petronas, Felda, Sime Darby dan lainnya tidak boleh menikmati faedah TPP; Hasrat untuk menyertainya kemudian akan memakan kos yang tinggi: Hilang pasaran untuk barangan elektronik yang dikeluarkan oleh negara; dan Hilang 50% pasaran ‘glove’ kepada Thailand,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-