Wednesday, October 21, 2015

Usul undi tidak percaya terhadap PM hanya sia-sia, kata naib presiden PAS

Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata PAS langsung tidak dirujuk mahupun dimaklumkan oleh parti pembangkang lain berhubung rancangan membawa usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Parlimen sebelum ini.Gambar fail The Malaysian Insider, 21 Oktober, 2015.

Usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang bakal dibawa PKR pada persidangan Dewan Rakyat kali ini akan menjadi usul sia-sia kerana tiada kesepakatan antara parti pembangkang, kata Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau berkata PAS langsung tidak dirujuk mahupun dimaklumkan oleh parti pembangkang lain berhubung rancangan membawa usul berkenaan ke Parlimen sebelum ini.

"Kalau tak ada persediaan yang baik, tiada perbincangan, tiada kata sepakat, maka usul itu akan jadi usul biasa sahajalah. Sebab itu usul ini tak boleh buat main-main macam tu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Jubli Perak 25 tahun pemerintahan PAS di Kelantan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di Kota Baru, malam tadi.

Semalam, anggota Parlimen Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sian daripada PKR dipetik sebagai berkata bahawa beliau akan menarik balik hasrat membawa usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri untuk memberi laluan kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail membawa usul sama.

Bagaimanapun, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia membayangkan usul itu tidak mungkin dapat diterima untuk dibahas pada sesi kali ini kerana setiap usul harus dikemukakan dalam tempoh 14 hari sebelum persidangan Dewan Rakyat bermula.

Ditanya mengenai formula pembahagian kerusi yang dicadangkan DAP dalam kalangan parti pembangkang sebelum ini, Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata PAS tidak lagi terikat dengan parti itu selepas masing-masing memutuskan hubungan politik dalam pakatan pembangkang sebelum ini.

Malah, katanya PAS sedang mengkaji untuk meletakkan calon bukan Islam yang bernaung di bawah Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) untuk bertanding di kerusi DAP pada pilihan raya umum akan datang.

"Kami akan bertanding (tambah kerusi) dan mungkin kerusi-kerusi DAP pun yang kami rasa ada potensi, kami akan letak calon DHPP untuk bertanding.

"Kami sedang buat kajian dan kami sedang mengumpulkan maklumat kawasan mana yang berpotensi namun perkara itu masih belum dimuktamadkan lagi," katanya.

Pengerusi DAP Lim Kit Siang sebelum ini mencadangkan PAS bertanding di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis manakala Parti Amanah Negara (Amanah) pula bertanding di negeri lain yang tertakluk atas persetujuan parti pembangkang lain. – Bernama, 21 Oktober, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/usul-undi-tidak-percaya-terhadap-pm-hanya-sia-sia-kata-naib-presiden-pas#sthash.ubAKXqLz.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-