Thursday, October 15, 2015

Wahid nafi 'pak turut' AS jika tandatangani TPPA

Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan membuka lebih peluang kepada syarikat tempatan untuk mengembangkan lagi aktiviti perniagaan mereka di luar negara jika Malaysia bersetuju menandatangani perjanjian tersebut, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Beliau berkata sektor elektrik dan elektronik (E&E) antara bidang yang akan mendapat kelebihan berikutan jumlah eksport yang tinggi dicatatkan iaitu sekitar 35 peratus hingga 36 peratus.

"Jika kita lihat daripada jumlah eksport iaitu sebanyak 35 peratus hingga 36 peratus, adalah daripada produk E&E dan ini disebabkan terdapat banyak syarikat tempatan melabur di negara luar antaranya Amerika Syarikat.

"Sekiranya Malaysia tidak termasuk dalam perjanjian ini, dominasi kita dalam industri ini akan terjejas dan memberi kesan kepada ekonomi negara," katanya ketika ditemu bual dalam Rancangan Soal Jawab terbitan TV3 berkaitan topik, 'Ekonomi Negara' malam tadi.

Wahid berkata persetujuan penglibatan Malaysia dalam TPPA akan turut mengurangkan kos struktur perniagaan apabila terdapat produk luar yang dibenarkan masuk ke dalam negara.

Beliau turut menyangkal pendapat sesetengah pihak yang mendakwa Malaysia adalah ‘pak turut’ Amerika Syarikat sekiranya bersetuju menandatangani perjanjian tersebut.

"Sebagai negara terawal terlibat dalam perjanjian tersebut, ia membolehkan Malaysia meningkatkan profil negara serta daya tarikannya terhadap pelabur asing.

"Selain itu, antara kelebihan menjadi antara negara terawal dalam TPPA ialah membolehkan kita merundingkan terma yang sesuai dan terbaik untuk negara termasuklah mengambil kira eksklusiviti dan dasar Bumiputera serta perusahaan kecil dan sederhana," katanya.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed mewakili Malaysia dalam rundingan TPPA yang dirumuskan baru-baru ini, dan bersetuju untuk mempertimbang hampir kesemua kebimbangan dan sensitiviti yang dibangkitkan Malaysia seperti isu pemerolehan kerajaan, perusahaan milik negara dan Bumiputera.

Beliau bagaimanapun menegaskan akan membuat perbincangan terperinci dalam sidang parlimen sebelum menandatangani perjanjian tersebut.

Terdapat 12 negara TPPA iaitu lima negara daripada benua Amerika; Amerika Syarikat, Kanada, Mexico, Peru dan Chile, empat negara ASEAN; Malaysia, Singapura, Brunei dan Vietnam dan tiga negara lain iaitu Jepun, Australia dan New Zealand.

12 negara ini menyumbang 40 peratus kepada ekonomi dunia.

Kedudukan ringgit

Sementara itu, Wahid yakin usaha kerajaan untuk memantapkan ekonomi dan kewangan negara akan mengembalikan ringgit ke paras yang sepatutnya.

Bagaimanapun, katanya beliau tidak mahu membuat sebarang spekulasi mengenai paras mata wang negara patut berada dan bila ia sepatutnya berlaku.

Terdahulu, beliau diminta mengulas mengenai unjuran Rabobank bahawa ringgit akan diniagakan antara RM4.45 dan RM4.50 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir tahun.

Unjuran itu dengan jangkaan sekiranya China, yang juga ekonomi kedua terbesar dunia mengulangi langkah menurunkan nilai mata wangnya.

"Jangkaan itu mengikut pandangan masing-masing berdasarkan andaian AS akan menaikkan kadar faedahnya dan China menurunkan nilai mata wangnya. Kita akan terus fokus kepada asas ekonomi dan ringgit akan pulih dan kembali ke paras sepatutnya," katanya.

Ringgit susut 0.4 peratus, disebut harga pada 4.1770/1860 berbanding dolar AS pada Selasa, berikutan kejatuhan harga minyak mentah dunia.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-