Tuesday, November 10, 2015

11 gelanggang baru pilihan raya negeri Sarawak

Abdul Aziz Harun
Apabila persidangan Parlimen berakhir bulan depan, 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu di Sarawak dijangka dimuktamadkan, dan parti politik di Bumi Kenyalang ini boleh mulai membulatkan muafakat, berkira-kira dengan perancangan siapa bertanding di mana.

Daripada 11 kerusi DUN itu, tiga adalah kawasan majoriti kaum Melayu/Melanau (Gedong, Kabong dan Telian), tiga majoriti kaum Iban (Stakan, Selirik dan Samalaju), dua majoriti Orang Ulu (Murum dan Long Lama) dua majoriti kaum Bidayuh (Serembu dan Triboh), dan satu majoriti kaum Cina (Batu Kitang).

Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem awal-awal lagi mengumumkan lima daripada kawasan baharu itu akan ditandingi parti yang diterajuinya, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), dan pastinya ini termasuk tiga kawasan majoriti Melayu/Melanau, kaum yang memberikan sokongan mutlak kepada PBB dan Barisan Nasional (BN) dalam semua pilihan raya negeri sebelum ini.

Batu Kitang pula menyajikan rumusan menarik untuk melihat sejauh mana 'faktor ketokohan Adenan' dapat menarik sokongan kaum Cina.

Yang menjadi masalah bagi BN ialah komponennya Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), yang didominasi kaum Cina yang disandar harapan merebut kawasan ini, kini berpecah sehingga melahirkan parti serpihan, Parti Rakyat Bersatu (UPP).

Memandangkan Batu Kitang adalah kawasan pecahan daripada DUN Kota Sentosa dan DUN Batu Kawah yang kedua-duanya diwakili DAP, ia dijangka menjadi gelanggang pertandingan buat DAP.

Mungkin tidak.

Ini kerana satu lagi sekutu pembangkang, PKR awal-awal lagi sudah membuat gerak kerja di lapangan Batu Kitang, malah sudah mengemukakan beberapa nama yang kemungkinan menjadi calon mereka di kawasan itu nanti.

Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian ketika dihubungi berkata gabungan parti pembangkang, Gerakan Harapan Baru akan berbincang untuk mencapai kata sepakat dalam pembahagian kerusi apabila tiba masa nanti.

Katanya ketika ini terlalu awal untuk dibuat rumusan kerusi mana yang akan ditandingi PKR, namun pastinya ia mahukan kawasan yang memang secara tradisinya pernah ditandinginya, selepas kerja-kerja lapangan jenuh diusahakan selama ini untuk mengukuhkan sokongan.

Dalam pilihan raya negeri lepas, PKR bertanding merebut 49 kerusi DUN tetapi hanya memenangi tiga daripadanya, iaitu Ba’Kelalan, Batu Lintang dan Krian.

Sebelum itu ia hanya memiliki satu kerusi DUN.

Di Dewan Undangan Negeri ketika ini PBB memiliki 35 kerusi; SUPP enam; Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) enam; dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) lapan.

Pembangkang pula, DAP mempunyai 12 kerusi dan PKR, tiga. Terdapat satu Bebas.

Di khalayak pemimpin BN negeri, Presiden PRS, Tan Sri James Jemut Masing, sudah menyuarakan harapan untuk mendapatkan kerusi Bukit Goram (Selirik) dan Murum daripada 11 kerusi baharu itu.

Naib Presiden Kanan SPDP Datuk Paul Igai pula ketika dihubungi berkata parti itu sedang mengintai dua kawasan majoriti kaum Iban, namun pantas berkata ia masih terserah kepada pucuk pimpinan tertinggi BN Negeri.

Jika kata sepakat dicapai di sini, ia bermakna PRS sudah hampir pasti boleh mendapatkan Bukit Goram (Selirik), manakala dua lagi kawasan majoriti Iban, Stakan dan Samalaju, boleh 'ditempah' oleh SPDP.

Kini tinggal kawasan majoriti Orang Ulu, Long Lama (Mulu) dan majoriti kaum Bidayuh di Serembu dan Triboh.

Selepas PBB diramal menempah tiga kawasan DUN majoriti Melayu/Melanau di Gedong, Kabong dan Telian, ia kini mengintai dua lagi kerusi DUN, dengan Triboh dan Serembu boleh dikatakan pertaruhan terbaiknya.

Triboh pasti ditempah PBB kerana ia dibentuk dari sebahagian dua kawasan sedia ada, Tebedu dan Kedup, yang masing-masing diwakili ahli PBB.

Serembu pula diwujudkan dari sebahagian DUN Bengoh, yang diwakili anggota SUPP dan DUN Tarat, yang diwakili ahli PBB.

Kerusi DUN baharu ke-11, Long Lama (Mulu), direka dari DUN Marudi, yang diwakili ahli SPDP (yang kini bersama parti baru Teras) dan DUN Telang Usan, yang diwakili ahli PBB.

Dengan PBB diramal menuntut lima daripada 11 kerusi baharu itu, Long Lama (Mulu) kini boleh saja dituntut SPDP atau PRS.

Dari segi perkiraan angka, pembangkang kelihatan agak kecil untuk memberi cabaran besar kepada kepimpinan kerajaan negeri.

Namun umum tahu sokongan parti di sesebuah kawasan itu boleh beralih disebabkan beberapa faktor seperti undi protes, pemilihan calon tidak 'mesra pengundi', ataupun faktor perbalahan, perebutan, mahupun pertikaian dalaman.

Persempadanan ini boleh dianggap memberi kelebihan kepada BN kerana hampir semua kerusi baharu membabitkan kawasan luar bandar yang BN terbukti mendapat banyak sokongan.

Sebelum diwujudkan kerusi baharu ini, tempat-tempat berkenaan membabitkan kawasan DUN luar bandar yang sangat luas, membawa kepada hasrat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melakukan persempadanan semula.

Sebaik sahaja Mahkamah Persekutuan meluluskan proses persempadanan semula pertengahan bulan lepas, Setiausaha DAP Sarawak Alan Ling mendakwa BN negeri memerlukan tambahan 11 kerusi untuk menangani masalah perpecahan dalam dua parti komponennya.

Semua kesimpulan ini bagaimanapun dibuat tanpa mengambil kira kawasan mana yang akan 'dipohon' untuk ditandingi dua parti serpihan yang mengisytihar diri 'mesra BN' yakni UPP dan Teras.

Kini keterujaan ramai terarah untuk melihat sejauh mana kebijaksanaan Adenan melayan permohonan mereka, ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-