Saturday, November 14, 2015

Akmal Nasir tidak akan mohon maaf pada Jamil Khir

Adam Abu Bakar | November 14, 2015

Rakyat berhak tahu sebab Jamil Khir menggunakan wang yayasan untuk tujuan melawat dan bermain golf di Amerika dan bukan duit yang diperuntukkan kepada beliau atas kapasiti seorang menteri.
KUALA LUMPUR: Pengarah National Oversight Whistleblowers (NOW) Akmal Nasir bertegas tidak akan memohon maaf kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Ia ekoran pendedahan NOW yang mendakwa beliau menggunakan wang Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) untuk tujuan bersuka-ria termasuk bermain golf di Amerika Syarikat.

“Bukan saya yang ambil duit YaPEIM. Kita hanya minta dia jelaskan sebab beliau menggunakan duit yayasan. Saya tidak akan minta maaf,” kata Akmal Nasir dalam satu sidang media di Ibu Pejabat NOW pada Sabtu.

Mengulas lanjut, beliau juga berkata, tidak gentar sekiranya Jamil Khir membawa isu wang YaPEIM ke mahkamah kerana rakyat berhak tahu sebab duit anak yatim dan miskin digunakan bagi membiayai perjalanan Jamil Khir ke Amerika Syarikat.

“Itu hak dia (Jamil Khir) untuk membawa isu ini ke mahkamah. Bahkan, rakyat juga berhak tahu, mengapakah wang Yayasan Pembangunan Anak Yatim Miskin (PEMANGKIN) digunakan,” ujarnya lagi.

Jelasnya, Jamil Khir sepatutnya menggunakan wang yang diperuntukkan kepada beliau atas kapasiti seorang menteri kabinet dan bukannya wang yayasan.

“Jika benar lawatan Jamil Khir ke Amerika Syarikat merupakan tugas rasmi sebagai menteri, mengapakah perbelanjaan tersebut dibiayai YaPEIM?” soalnya.

Mengambil maklum kenyataan media yang dibuat Jamil Khir pada Jumaat, Akmal juga menyatakan menteri tersebut tidak menafikan kebenaran dan bukti atau dokumen yang beliau kemukakan sebelum ini.

“Jamil tidak menjawab isu pokok iaitu sama ada wang YaPEIM melalaui PEMANGKIN telah digunakan untuk membiayai lawatan beliau ke Amerika Syarikat.

“Malah, dalam kenyataan Jamil, beliau mengesahkan sememangnya telah pergi ke Amerika Syarikat bagi tempoh 21 hingga 29 Mei 2014 dengan alasan sebagai sebahagian tugas dan tanggungjawab selaku menteri di Jabatan Perdana Menteri,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-