Monday, November 9, 2015

Anak kepada Tun Dr Ismail mahu Jakim dimansuhkan

OLEH ANISAH SHUKRY
Published: 9 November 2015 7:00 AM
Tawfik Ismail, anak sulung bekas timbalan perdana menteri Tun Dr Ismail Abdul Rahman bercakap mengenai allahyarham bapanya ketika ditemubual di rumahnya, baru-baru ini.Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin, 9 November, 2015.

Pada zaman dulu, ketika Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) belum ditubuhkan, Putrajaya tidak memberitahu rakyat Malaysia beragama Islam bagaimana untuk mengamalkan kepercayaan mereka, dan tiada siapa memandang serong terhadap umat Islam yang membela anjing.

Dan Tawfik Ismail, anak sulung bekas timbalan perdana menteri Tun Dr Ismail Abdul Rahman, mahu masa itu dikembalikan.

Langkah utama adalah dengan membubarkan semula Jakim, kata Tawfik, dalam satu temu bual sempena pelancaran "Drifting into Politics", buku yang mengandungi tulisan allahyarham bapanya semasa pembentukan negara, disunting beliau sendiri bersama ahli akademik Ooi Kee Beng.

Jakim dicipta pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad dan ia seolah-olah bertugas tanpa tujuan selain campur tangan dalam kehidupan peribadi rakyat Malaysia, kata Tawfik kepada The Malaysian Insider ketika ditemui di rumahnya di Taman Tun Dr Ismail.

"Saya rasa Jakim perlu dimansuhkan. Saya tidak fikir Jakim perlu wujud. Apa yang kerajaan takut? Anda mempunyai 13 mufti dengan 13 fatwa yang berbeza dan 13 cara berlainan untuk mendalami (agama).

"Apakah tujuan Jakim? Sijil halal? Yang boleh pergi ke Kementerian Kesihatan, kementerian perdagangan. Apa lagi yang Jakim lakukan? Cetak Al-Quran? Kita mempunyai seorang menteri komunikasi," kata bekas ahli Parlimen berusia 64 tahun itu.

Jika ada yang mahu mengatakan Jakim sangat diperlukan "melindungi" kesucian agama Islam, tegas Tawfik, Agong, Sultan, imam (ulama) dan mufti mampu menggalas tugas itu.

"Jakim adalah badan penasihat kepada kerajaan, tetapi daripada segi Perlembagaan ia benar-benar tidak mempunyai peranan. Islam terletak di bawah kuasa Sultan di setiap negeri, dan ia tidak ada kena mengena dengan kerajaan,” katanya.

Ditanya apakah bidang kuasa kehidupan umat Islam, yang kerajaan campur tangan, Tawfik mengatakan "tiada apa-apa".

"Integrasi nasional di negara ini cabaran yang paling besar. Bagaimana anda mengintegrasikan negara jika anda sering kali mencari kesalahan di kalangan umat Islam?," soalnya.

Tetapi, Tawfik menjelaskan pandangan beliau mengenai Jakim itu sendiri, dan G25, kumpulan pesara kerajaan di kalangan orang Melayu di mana beliau salah seorang ahlinya, tidak berpandangan sepertinya.

G25, bagaimanapun, mahu Jakim mewajarkan kewujudannya serta beratus juta ringgit diterima daripada bajet persekutuan setiap tahun, yang kata beliau sepatutnya disalurkan kepada Kementerian Kesihatan atau Kementerian Pendidikan.

"Saya fikir ada penentangan terhadap Perlembagaan oleh pihak berkuasa agama di peringkat negeri di mana mereka berkuasa untuk campur tangan kehidupan peribadi seseorang," katanya.

Putrajaya tidak mampu bertindak sebagai pembela kepada kesucian agama Islam, tegas Tawfik, yang juga ahli Parlimen dari 1986 hingga 1990.

Beliau berkata, pada zaman perdana menteri pertama, Tunku Abdul Rahman, hanya jabatan agama kecil wujud di Jabatan Perdana Menteri.

Tidak ada menteri hal ehwal agama; dan tiada bantahan walhal bapanya, Tun Dr Ismail, memiliki anjing.

"Ayah saya mempunyai Boxer dan sebelum itu seekor Alstatian," kata Tawfik mengingati anjing dimiliki bapanya.

Katanya, semua ini berubah selepas Dr Mahathir mengambil alih jawatan perdana menteri dan timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba untuk memasukkan definisi nilai Islamnya kepada semua aspek kehidupan rakat Malaysia.

Ia dilakukan untuk menyekat pengaruh PAS yang tidak menjadi isu pada awal kemerdekaan, kata Tawfik.

Hasilnya, Malaysia hari ini kini menghadapi "arabisation", dengan masyarakat yang mempunyai budaya Nusantara bertukar kepada budaya Timur Tengah, katanya.

"Kita seolah-olah mengalu-alukan budaya tersebut dengan 'bercakap' dalam bahasa Arab di Negara ini."
Buku politik, turut mengandungi tulisan bekas timbalan perdana menteri Tun Dr Ismail Abdul Rahman.Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin, 9 November, 2015.

Tawfik berkata ia antara sebab mengapa Drifting into Politics, koleksi tulisan Dr Ismail sendiri tidak mendapat tempat di Putrajaya.

"Perkara tertentu yang ayah saya katakan di sini agak menarik.

"Sebagai contoh, beliau berkata apabila Tunku mengadakan mesyuarat di rumahnya, dengan sekumpulan orang... kadang-kadang satu atau dua daripada mereka akan pergi ke dapur dan minum brandi dan wiski, kemudian kembali dan menyertainya. Beliau mengakuinya.

"Ya, ia satu rahsia terbuka, tetapi ia tidak pernah dinyatakan secara bertulis oleh mana-mana pemimpin," kata Tawfik sambil ketawa.

Bapanya meninggal dunia pada 1973 ketika berusia 57 tahun, selepas 3 tahun berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri. 4 November lalu adalah ulang tahun kelahirannya yang ke-100.

Dengan rekod sedemikian wujud, tidak kira bagaimana ia cuba untuk mengislamkan Malaysia, Tawfik berkata, kerajaan akan tidak mampu menulis semula sejarah dan memadamkan perkara asalnya. – 9 November, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/anak-kepada-tun-dr-ismail-mahu-jakim-dimansuhkan#sthash.8j1CWMAe.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-