Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Thursday, November 12, 2015

.....Anda setuju masyarakat India bukan kaum pendatang.....?

Jangan label ‘pendatang’ kepada masyarakat India, kata Najib
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor melihat hiasan ‘kolam’pada Rumah Terbuka Hari Deepavali 2015 di Kulim, malam tadi. Beliau menggesa semua pihak berhenti mengeluarkan kenyataan sensitif yang menjejas sensitiviti kaum di negara ini.Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 12 November, 2015 .

Datuk Seri Najib Razak hari ini menggesa pihak-pihak tertentu jangan melabelkan masyarakat India yang banyak menyumbang kepada negara ini sebagai “pendatang”.

"Janganlah gelar mereka pendatang. Jika kita gelar pendatang kita tidak anggap saudara kita itu mempunyai kewarganegaraan, sedangkan mereka berhak," kata perdana menteri.

Katanya, semua pihak perlu mengelak daripada mengeluarkan kenyataan-kenyataan sensitif yang menjejas sensitiviti kaum di negara ini.

Beliau berkata, jika semua pihak memelihara sensitiviti kaum, Malaysia mampu muncul sebagai negara "Sinar Harapan" dalam kalangan negara membangun.

"Kita perlu menjaga perasaan masyarakat pelbagai kaum di negara ini, jangan sebut perkataan yang sensitif kepada mereka hanya kerana ingin menyakiti (hati) mereka.

Perdana menteri menegaskan demikian ketika menghadiri Rumah Terbuka Hari Deepavali 2015 di Dataran Kulim di Kulim, malam tadi.

Hadir sama isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Najib berkata ia juga sama dengan masyarakat beragama Islam dan meminta semua pihak tidak menyebut perkataan-perkataan sensitif yang boleh mengugat sensitiviti masyarakat Islam di negara ini.

Jika generasi ketika ini berpegang kepada asas-asas yang digariskan pengasas negara sebagaimana mengikut kontrak sosial dan Perlembagaan Persekutuan, maka Malaysia akan berjaya, katanya.

Beliau juga mengingatkan persengketaan kaum dan agama bukan sahaja berlaku di negara membangun tetapi juga di negara maju termasuk di Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah.

Perdana menteri juga menyentuh tentang MIC dan berkata dengan pemilihan barisan kepimpinan yang baharu parti itu diharap dapat berkhidmat dengan lebih berkesan kepada masyarakat India di negara ini.

Barisan kepimpinan baharu MIC di bawah Dr Subramaniam yang juga menteri kesihatan dibaratkan sebagai nafas baharu dalam perjuangan untuk memartabatkan kedudukan masyarakat India negara ini, katanya.

Masyarakat India negara ini katanya, membangun dengan pesat menerusi amalan dasar-dasar yang adil, saksama dan inklusif yang dilaksanakan kerajaan di bawah Barisan Nasional (BN).

Najib juga berkata Perdana Menteri India Narendra Modi akan melawat Malaysia tidak lama lagi dan berharap pemimpin negara India itu akan melihat bagaimana masyarakat India negara ini walaupun hanya 7.5% daripada keseluruhan rakyat negara ini memainkan peranan penting di Malaysia.

Majlis itu turut disertai Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir serta Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati.

Sementara itu, Dr Subramaniam berkata, walaupun menghadapi pelbagai kemelut dalaman politik baru-baru ini, MIC yakin mampu berdiri kukuh semula dengan sokongan kerajaan BN.

MIC mampu meraih sokongan masyarakat India, sekaligus memenangi pilihan raya akan datang, katanya.

Untuk itu, kata beliau, MIC berharap mendapat sokongan padu daripada pemimpin-pemimpin bagi membantu MIC mentransformasi masyarakat India khususnya dari segi ekonomi dan pendidikan.

Dalam pada itu, katanya MIC yakin Najib mampu membawa perubahan dan transformasi negara ke satu tahap yang membanggakan.

Dr Subramaniam MIC berikrar akan sentiasa berdiri teguh di belakang Perdana Menteri dalam berhadapan dengan segala cabaran mendatang. – Bernama, 12 November, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/jangan-label-pendatang-kepada-masyarakat-india-kata-najib#sthash.sOlhDA6t.dpuf