Friday, November 6, 2015

.....Apabila kuasa politik Melayu semakin lemah.........

Haramkan perkataan ‘Pendatang’ – Presiden MIC

Subramaniam (kanan) berkata, perkataan 'pendatang' tidak sepatutnya digunakan lagi, kerana ia mengguris hati kaum Cina dan India yang sering dilabelkan dengan perkataan itu. - Foto TRP/ Azrol Ali
SERDANG, 6 November:

Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam mahu perkataan ‘Pendatang’ diharamkan.

Jelasnya, perkataan itu tidak sepatutnya digunakan lagi, kerana ia mengguris hati kaum Cina dan India yang sering dilabelkan dengan perkataan itu.

“Ini perlu dikaji dengan sebaik-baiknya oleh pucuk pimpinan BN dan bersetuju bahawa ia tidak boleh dibiarkan lagi.

“Perkataan ini sepatutnya diharamkan. Orang India dan Cina yang dilabelkan orang luar telah berada di sini selama enam generasi.

“Dalam keadaan kenyataan sedemikian dikeluarkan orang-orang dari dalam dan luar sistem kita, perlu ada penguatkuasaan undang-undang berkesan dikenakan kepada orang yang berkata demikian, tanpa mengambil kira pendirian politik mahupun sosial mereka,” katanya dalam ucaptamanya sempena Perhimpunan Agung MIC ke-67 yang dirasmikan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak, hari ini.

Jelasnya, MIC akan menubuhkan sebuah Majlis Penasihat India Malaysia yang berperanan merapatkan hubungan parti itu dengan masyarakat.

“Kami kecewa masyarakat India berpecah dalam perwakilan politiknya.

“Kami mahu mempunyai satu platform untuk mengadakan dialog dengan parti-parti politik lain,” katanya yang turut membuat beberapa permintaan daripada Perdana Menteri.

Ia termasuk persoalan berhubung keabsahan sekolah-sekolah vernakular perlu dihentikan.

“Polarisasi kaum di sekolah perlu ditangani secara berkesan. Ia amat penting untuk Kementerian Pendidikan mengkaji perkara ini dan menggalakkan integrasi kaum,” katanya.

Subramaniam turut meminta Najib mempertimbangkan bantuan kepada golongan India berpendapatan rendah, dengan memberi pendidikan tinggi kepada mereka.

“Saya cadangkan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (pendapatan seisi rumah RM4,000) diberikan geran permulaan sebanyak RM20,000 untuk setiap pelajar yang mendapat CGPA lebih daripada 3.0 dalam Matrikulasi, SPM atau kursus asas.

“Saya cadangkan kerajaan memulakan dana pusingan pinjaman khas untuk pelajar-pelajar ini. RM25 juta setahun perlu diperuntukkan untuk dana itu,” katanya.

Jelasnya, peruntukan RM100 juta untuk pinjaman Tekun bagi usahawan mikro India yang diumumkan dalam Bajet 2016 mempunyai kelemahannya.

“Terdapat ketidaksesuaian antara jumlah yang diperlukan untuk memulakan sebuah perniagaan dan jumlah sebenar yang diberikan.

“Berdasarkan jumlah yang diberikan, adalah sukar untuk memulakan sebuah perniagaan secara berkesan,” katanya.

Beliau turut meminta 10 peratus daripada projek-projek besar diumumkan kerajaan diberikan kepada kontraktor India.

“Ini boleh dilakukan dengan (memberi projek-projek itu) kepada kontraktor India berkebolehan secara bergilir-gilir,” katanya yang turut meminta Najib memberi jaminan sekurang-kurangnya 7 peratus jawatan dalam perkhidmatan awam diisi oleh orang India.

Beliau yakin, dengan adanya penjawat awam bukan Bumiputera, kualiti dan prestasi perkhidmatan awam boleh ditingkatkan.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/11/06/haramkan-perkataan-pendatang-presiden-mic/#ixzz3qihtnnZQ

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-