Sunday, November 8, 2015

Azmin nafi dijemput sertai Pas

WARTAWAN SINAR HARIAN
Mohamed Azmin (kanan) beramah mesra dengan wakil Dewan Perniagaan Malaysia-China dan juga Bank Of China (Malaysia) Berhad, semalam.

SHAH ALAM - Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali menafikan dakwaan mengatakan beliau dijemput untuk menyertai Pas sekali gus akan meneruskan kerjasama dengan Umno di Selangor.

Menurutnya, dakwaan itu adalah tidak benar sama sekali.

“Perkara itu tidak pernah dibincangkan sebelum ini.

“Dakwaan kata saya jumpa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memang ada, malah saya pun ada jumpa Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak. Namun perkara itu (pujukan menyertai Pas) adalah tak benar,” katanya ketika diminta mengulas berhubung dakwaan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang menyokong dakwaan bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa mengenai tindakan Abdul Hadi cuba membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno di Selangor melalui Mohamed Azmin.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Usahawan Malaysia-China (MECC) kali kelima anjuran Dewan Perniagaan Malaysia-China dengan kerajaan negeri dan Bank Of China (Malaysia) Berhad di Dewan Jubli Perak, SUK di sini, semalam.

Mohamed Azmin yang juga menteri besar berkata, beliau sendiri tidak tahu-menahu berkenaan perkara itu.

“Saya tak nak cakap pasal politik, orang nak cakap apa pun cakaplah.

“Kita sebagai kerajaan negeri yang kukuh dengan barisan Exco serta wakil rakyat akan terus berkhidmat untuk rakyat di negeri ini. Itu fokus kita sekarang,” katanya.

Sementara itu, ketika mengulas gesaan bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan dan Ketelusan Selangor (Selcat) dan Jabatan Audit Negara menyiasat Darul Ehsan Investment Group (DEIG), Mohamed Azmin yang juga Adun Bukit Antarabangsa berkata, DEIG sentiasa bersedia untuk disiasat.

“Sudah banyak kali saya cakap DEIG belum beroperasi.

Kalau Abdul Khalid nak siasat juga, silakan.

Kita mengamalkan prinsip ketelusan dan ini adalah jaminan kerajaan negeri sejak awal lagi,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-