Thursday, November 12, 2015

BN Selangor akur jika pusat mahukan kerajaan perpaduan, kata penyelaras

Sekiranya ada arahan pusat, ada kemungkinan wujudnya kerajaan perpaduan Umno dan PAS di Selangor, kata Penyelaras Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional Selangor Nadzari Ahmad Dahlan.Gambar fail The Malaysian Insider, 12 November, 2015.

Penyelaras ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Selangor Nadzari Ahmad Dahlan tidak menolak kebarangkalian wujudnya kerajaan perpaduan antara Umno dan PAS di negeri itu, namun ianya terpulang kepada kepimpinan pusat parti.

Beliau berkata, situasi di Selangor hari ini menunjukkan kewujudkan kerajaan perpaduan antara DAP, PAS, dan PKR, dan tidak mustahil perkara seumpama itu boleh berlaku antara PAS dan Umno.

"Kita akur dengan keputusan pusat, apa yang dibuat pusat kita akan akur.

"Apa yang ada sekarang di Selangor adalah kerajaan perpaduan," katanya merujuk kepada kerjasama politik parti pemerintah negeri antara PKR, DAP, dan PAS susulan pembubaran Pakatan Rakyat.

"Bukan satu yang asing di Selangor wujudnya kerajaan perpaduan, sekarang yang ada bukan 1 parti tapi sudah 4 parti yang bertelagah," katanya lagi.

Adun Batang Kali itu berkata, perpaduan antara PAS dan Umno di negeri itu tetap terpulang kepada pendirian kepimpinan pusat.

"Kita tidak boleh menolak sebarang kebarangkalian kerana ia pernah berlaku sebelum ini.

"Jadi kita dah ada pengalaman, sama ada ia akan berlaku itu keputusan pusat," katanya, dan menambah, kepimpinan parti di peringkat negeri tidak seharusnya melangkaui kepimpinan di peringkat pusat berhubung perkara itu.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar sebelum ini menafikan dakwaan yang parti itu didatangi Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk membentuk kerajaan perpaduan tahun lepas.

Katanya, idea itu sendiri "tidak logik" kerana kekurangan bilangan kerusi dalam kalangan wakil rakyat Umno.

Umno Selangor mempunyai 12 daripada 56 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) sementara PAS mempunyai 15, sebelum 2 daripadanya menyertai kumpulan serpihan, Parti Amanah Negara (Amanah).

"12 tambah 15, jadi 27. Dengan 27 (kerusi) tidak boleh tubuhkan kerajaan.

"Saya tidak tahu apa. Tetapi secara logiknya, ikut fahaman orang biasa, bagaimana hendak tubuhkan sebuah kerajaan negeri dengan 27 (kerusi)?" soalnya.

Majoriti mudah 29 wakil rakyat dalam badan perundangan Selangor diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri.

DAP ketika ini memegang kerusi terbanyak dengan 15, diikuti sekutunya PKR dengan 13.

PAS mempunyai 13 kerusi selepas 2 wakilnya menyertai Amanah. Satu lagi kerusi dipegang calon bebas, bekas menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim yang meninggalkan PKR.

Dakwaan Hadi mahu membentuk kerajaan perpaduan PAS-Umno di Selangor dibuat bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa.

Husam berkata, Hadi membawa perkara itu ketika kemelut pertukaran menteri besar baharu Selangor tahun lepas, sambil menambah, presiden parti Islam itu mengaku rancangannya di depan beberapa ahli parti. – 12 November, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/bn-selangor-akur-jika-pusat-mahukan-kerajaan-perpaduan-kata-penyelaras#sthash.E7KOlgyl.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-