Thursday, November 5, 2015

DAP pertikai status rizab Melayu di Bagan Nakhoda Omar, cadangan tukar nama

OLEH YASMIN RAMLAN
Timbalan Setiausaha DAP Selangor Ng Suee Lim mencadangkan nama perkampungan nelayan Bagan Nakhoda Omar di Sabak Bernam ditukar kepada nama Cina berikutan pertukaran status rizab Melayu.Gambar Facebook, 5 November, 2015.

Seorang pemimpin DAP Selangor hari ini mempertikaikan status rizab Melayu di perkampungan nelayan Bagan Nakhoda Omar di Sabak Bernam kerana berpendapat penduduk di situ majoritinya merupakan kaum Cina.

Sambil mencadangkan status tanah rizab itu ditukar, Timbalan Setiausaha DAP Selangor Ng Suee Lim turut mencadangkan nama perkampungan tersebut ditukar kepada nama Cina berikutan pertukaran status itu.

"Usaha menukarkan (status) sudah dilakukan bertahun-tahun. Sampai sekarang tak ada jawapan. Ini pihak Pejabat Tanah dan Galian kena bantu.

"Dan saya cadang, kalau esok kita berjaya tukar dan warta, batalkan (status) Bagan Nakhoda Omar ini kerana ia diduduki ramai, hampir 100%, penduduk nelayan Cina.

"Jadi nama dia kena tukar. Kita kena tulis Bagan Nakhoda Chong," katanya pada sesi perbahasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Shah Alam hari ini.

Ng yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Sekinchan itu berkata, nama Omar itu tidak diperlukan kerana ia mengingatkan penduduk di situ kepada Pengerusi Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar.

"Omar tak payah, sebab kita akan ingat Noh Omar. Macam Nakhoda Noh Omar. Tak elok. Itu pemimpin politik yang rakyat tidak suka. Jadi, Bagan Nakhoda Omar kita tukarkan Nakhoda Chong. Itu lebih baiklah," katanya.

Bagaimanapun, Adun Permatang Datuk Sulaiman Abdul Razak membidas kenyataan Ng, menyifatkannya sebagai rasis.

"Sekinchan kuat sangat rasisnya. Kalau buat (tukar), jangan kuat sangat sampai nama pun nak jadi isu. Tak profesionallah," katanya.

Sementara itu, dalam responsnya kepada Ng, Menteri Besar Mohamed Azmin Ali mengingatkan beliau nama kampung itu tiada kaitan dengan Noh.

Beliau juga mengatakan, kerajaan negeri akan menyemak dengan Pejabat Tanah dan Galian berhubung status tanah rizab Melayu itu.

"Kita boleh batalkan (tanah yang diwartakan sebagai rizab Melayu) dan gantikan tapak lain dengan nilai yang sama (dengan tanah tersebut).

"Pastinya kita nak tengok susun atur bangunan kampung sedia ada supaya masalah keselamatan dan kesejahteraan rakyat dapat diambil kira," katanya tanpa menyatakan sama ada beliau bersetuju status tanah itu perlu ditukar atau tidak. – 5 November, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/dap-pertikai-status-rizab-melayu-di-bagan-nakhoda-omar-cadang-tukar-nama#sthash.pUWXB1VA.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-