Sunday, November 8, 2015

Gelaran 'Pendatang' diguna demi kepentingan politik, kata Devamany

Timbalan Presiden MIC yang baru dipilih, Datuk Seri S.K. Devamany berkata apa yang dikatakan Raja Arif itu salah berkenaan perkataan 'Pendatang' dan dia perlu melihat perkataan berkenaan mengikut konteks masa kini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 8 November:

Ketika ditanya mengenai permintaan Presiden MIC, Datuk Seri Dr S.Subramaniam kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menghapuskan perkataan ‘pendatang’, Ketua Biro Tata Negara (BTN), Datuk Raja Arif Raja Ali berkata perkataan berkenaan tidak salah tetapi konteks penggunaan perkataan itu sendiri.

Beliau juga mengingatkan bahawa ‘sejarah telah menunjukkan bahawa kaum Cina, India dan Bangladesh datang dari negara-negara lain’.

Timbalan Presiden MIC yang baru dipilih, Datuk Seri S.K. Devamany berkata apa yang dikatakan Raja Arif itu salah berkenaan perkataan ‘Pendatang’ dan dia perlu melihat perkataan berkenaan mengikut konteks masa kini.

“Tafsiran sejarah tidak digunakan apabila Subramaniam bercakap tentang perkataan tersebut sewaktu AGM MIC baru-baru ini dan beliau bercakap mengenai ketika ini.

“Dia bercakap mengenai perkembangan terkini di mana sesetengah pihak menggunakan perkataan ‘pendatang’ untuk memecahbelahkan rakyat Malaysia demi kepentingan politik mereka sendiri.

“Ini adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, slogan 1Malaysia dan asas-asas untuk menyatupadukan rakyat Malaysia,” katanya kepada The Rakyat Post.

Tambahnya lagi, dalam konteks zaman moden, tidak ada pihak yang mahu berdebat mengenai maksud perkataan ‘Pendatang’.

“Jika tafsiran beliau itu berdasarkan sejarah maka beliau harus menggunakan kamus Oxford atau buku-buku sejarah. Jika konteks beliau bukan berdasarkan keadaan masa kini dan adalah untuk tujuan politik, saya sendiri tidak akan bersetuju dengannya.

“Ia adalah merbahaya bagi Malaysia untuk terus seperti ini. Kita adalah generasi keenam rakyat Malaysia dan darah kita mempunyai DNA Malaysia. Janganlah kita masukkan benih-benih perpecahan dalam minda anak muda Malaysia,” ujarnya.

Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata untuk memanggil rakyat Malaysia ‘Pendatang’ dengan tujuan untuk mengasingkan atau menjatuhkan mereka telah dilakukan dengan niat jahat.

“Mereka yang melakukannya adalah pihak yang cuba mewujudkan perpecahan kepada keharmonian kaum di negara ini.

“Sudah terlalu ramai golongan seperti ini wujud dan ia mencalarkan imej dan menghalang kepada kemajuan negara kita, ” katanya kepada The Rakyat Post.

Bagaimanapun beliau bersetuju bahawa ‘Pendatang’ hanyalah perkataan semata-mata.

“Bagaimana kita hendak mengharamkan perkataan? Ia bukanlah perkataan kesat dan saya bersetuju bahawa ia bergantung kepada konteks, bagaimana dan bila kita katakan.

“Kita harus mengelak daripada menggunakan perkataan-perkataan yang boleh menyakiti atau menghina orang lain,” katanya.

Ketua Pemuda MIC, Sivarraajh Chandran pula menjelaskan seorang pegawai berpangkat tinggi dalam kerajaan tidak boleh membenarkan perkataan ‘Pendatang’ digunakan.

“Dia bercakap seperti ahli-ahli politik yang mencari publisiti murahan di kalangan kumpulan etnik mereka.

“Jika anda masih dikenali sebagai ‘Pendatang’ selepas lima generasi, saya rasa beliau juga merupakan ‘Pendatang’.

“Saya menghargai ucapan Perdana Menteri mengenai hubungan etnik pada AGM MIC baru-baru ini tetapi beliau perlu membersihkan mereka yang fanatik kaum dalam perkhidmatan awam seperti Ketua BTN yang mengetuai sebuah jabatan penting di Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon berkata Raja Arif tidak boleh dengan sewenang-wenangnya bercakap mengenai perkataan ‘Pendatang’.

“Ia bukan sesi pengajaran bahasa, dan jangan bermain-main dengan perkataan berkenaan. Ia adalah jelas satu penghinaan untuk memanggil orang Cina dan India bahawa apabila kita semua berjuang untuk kemerdekaan negara.

“Tiada siapa yang mahu menafikan sejarah di sini tetapi apa Subramaniam meminta untuk tidak dilabel sebagai ‘pendatang’ lagi.

“Adakah kita panggil British dan Jepun sebagai penceroboh sekarang? Jika tidak, mengapa masih merujuk bukan Melayu sebagai pendatang?

“Hentikan semua ini dan kita semua bergerak ke hadapan. Kita semua rakyat Malaysia,” katanya kepada The Rakyat Post.

Naib Ketua Pemuda Gerakan, Andy Yong pula berkata jika perkataan itu bermakna pendatang maka ia juga digunakan untuk orang Melayu Malaysia juga.

“Perkataan itu sendiri tidak salah tetapi seringkali digunakan dalam kenyataan beberapa orang yang cuba untuk memprovokasi kaum lain atau bermain isu perkauman seperti hegemoni Melayu.

“Tidak ada sebab untuk mereka terutamanya ahli-ahli politik untuk menggunakan perkataan tersebut hari ini sama dengan kebanyakan rakyat Malaysia. Ibu bapa saya, anak-anak dan diri saya dilahirkan, dibesarkan dan mungkin mati di negara ini,” katanya.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/11/08/gelaran-pendatang-diguna-demi-kepentingan-politik-kata-devamany/#ixzz3qpWF7UYy

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-