Monday, November 9, 2015

Hadi berjaya batalkan saman cabar hudud

Hafiz Yatim
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berjaya membatalkan permohonan saman pemula empat individu yang memohon untuk mencabar usul pembentangan Rang Undang-Undang Persendirian di Parlimen yang membolehkan pelaksanaan hudud di Kelantan.

Keputusan itu dibuat hari ini oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Asmabi Mohamad yang memerintahkan bahawa permohonan itu perlu dibuat melalui semakan kehakiman dan bukannya melalui saman pemula.

Beliau juga memutuskan bahawa empat pemohon berkenaan - Mansoor Saat, Azira Aziz, Hasbeemaputra Abu Bakar, dan Hazwany Jamaluddin - tidak mempunyai locus standi (hak mengikut undang-undang) untuk membuat cabaran itu kerana tidak menyatakan kepentingan mereka dalam perkara itu.

"Mahkamah juga memutuskan bahawa Hadi telah memfailkan dengan betul rang undang-undang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 melalui rang undang-undang persendirian di Parlimen.

"Mahkamah juga mendapati bahawa keempat-empat mereka tidak boleh memohon injunksi ke atas seseorang pegawai kerajaan kerana setiausaha Parlimen adalah seorang pegawai kerajaan," kata peguam Hadi, Datuk Takiyuddin Hassan, yang juga adalah setiausaha agung PAS, ketika dihubungi.

Rang Undang-Undang Persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 yang cuba dibentangkan itu menurut saman pemula itu, bukan sahaja didakwa bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan malahan dianggap mengelirukan bahkan dikatakan suatu cubaan untuk memperluaskan kuasa Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman tanpa batasan.

Akta yang mahu dipinda oleh Hadi dan PAS adalah berhubung had hukuman kesalahan syariah yang sehingga hari ini hanya membenarkan enam sebatan rotan, tiga tahun penjara dan denda sehingga RM5,000.

Pindaan itu bertujuan untuk mengenakan hukuman yang lebih besar.

[Baca berita penuh]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-