Saturday, November 14, 2015

Husam gesa bayar tunggakan guru YIK RM14.6 juta sebelum naik gaji Adun

OLEH KC NAZARI

Ahli Dewan Undangan Negeri Salor Datuk Husam Musa menafikan beliau menolak kenaikan gaji wakil rakyat Kelantan tetapi tidak mahu menghancurkan hati rakyat memandangkan isu tunggakan caruman gaji guru-guru Yayasan Islam Kelantan masih belum selesai. – Gambar fail The Malaysian Insider, 14 November, 2015.

Ahli Dewan Undangan Negeri Salor Datuk Husam Musa menggesa kerajaan negeri Kelantan melangsaikan tunggakan caruman gaji guru-guru Yayasan Islam Kelantan (YIK) sebelum menaikkan gaji ahli dewan undangan negeri (Adun).

Susulan kerajaan negeri awal bulan ini mengaku tidak membuat potongan gaji untuk caruman yang membabitkan sejumlah RM14.6 juta itu, Husam berkata, sebagai parti Islam, kerajaan PAS Kelantan tentunya faham akan keutamaan dalam mentadbir negeri.

"Bulan Mac (2016) nanti naiklah. Naik gaji sekarang ini hancur perasaan rakyat.

"Dulu kita kata parti kita lebih baik daripada Umno tetapi dalam Harakahdaily ada pula kata wakil rakyat kita akan 'sesak' (kurang duit) kalau tak naik gaji. Sesak setakat manalah sangat?," kata Husam malam tadi.

Menurut Husam, beliau bukanlah menolak kenaikan gaji wakil rakyat Kelantan yang merupakan rakan-rakannya juga.

Namun katanya, keutamaan dalam Islam yang sering ditekankan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengkehendaki tunggakan itu dilunaskan terlebih dahulu.

"Saya bukan tak mahu gaji anak beranak (rakan-rakan) saya naik, tetapi kita ada keutamaan kita.

"Tuan Guru (Abdul Hadi) dalam ucapan dia kata ada 'aulawiyat' (keutamaan) dalam Islam, bukan?" katanya pada sesi "Demo Tanya, Ambe Jawab" di Dewan Kelab Suara Muda, Kota Baru.

Tunggakan caruman guru-guru YIK sejak 2001 itu antara lain sepatutnya dimasukkan ke dalam Biro Angkasa, Bank Islam, Tabung Haji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Koperasi Majlis Agama Islam Kelantan.

Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan, Mohd Asri Mat Daud dalam kenyataan di Harakahdaily sebelum ini berkata, kenaikan gaji Adun itu perlu diberikan keutamaan paling tinggi menurut hukum Islam.

Menurutnya, masalah tunggakan RM14 juta itu sudah berlarutan selama lebih 10 tahun dan kerajaan negeri sudah pun melangsaikan sebanyak RM2 juta daripada bayaran itu. – 14 November, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/husam-gesa-bayar-tunggakan-guru-yik-rm14.6-juta-sebelum-naik-gaji-adun#sthash.O36yFNus.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-