Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Saturday, November 7, 2015

Husam tanya PAS: Ya atau tidak?

Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa menggesa kepimpinan parti itu memberi jawapan "ya" atau "tidak" kepada dakwaannya sebelum ini bahawa presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang cuba membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno di Selangor.

Katanya, apa yang penting adalah menjawab dan memberi kepastian, bukannya lari daripada isu berkenaan.

ADUN Salur itu berkata demikian selepas Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa kenyataan Husam adalah "tidak betul" kerana tidak ada keperluan untuk PASbekerjasama dengan Umno di Selangor.

Husam berkata, sebagai umat Islam semua pemimpin PAS tahu bahawa berbohong amat ditolak oleh Islam.

“Hakikat bahawa Presiden PAS mengakui beliau mengusahakan kerjasama politik itu ketika krisis MB Selangor tahun lalu tidak boleh diketepikan dengan alasan-alasan.

“Antara 'ya' dan 'tidak' sahaja yang diperlukan. Adakah 'ya' atau 'tidak' Presiden Pas mengaku seperti itu bila dipersoalkan?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hadi bebas lontar apa saja

Husam dalam ceramah di Pasar Kedai Mulong, Pasir Mas dilaporkan mendakwa Abdul Hadi mengaku pernah cuba membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno di Selangor.

Usaha itu, kata Husam, cuba dijalankan dengan memujuk beberapa ADUN daripada PKR menyertai gabungan berkenaan.

Malah, Pengarah Jabatan Penerangan PAS, Ahmad Amzad Hashim mendakwa Husam sengaja mahu mensabotaj parti itu dengan menyatakan bahawa bekas naib presiden PAS itu telah "berubah".

Bagaimanapun, Husam hari ini bertindak balas dengan bertanya: "Adakah saya yang berubah atau PAS yang sudah berubah?"
Husam juga menekankan kenyataan Abdul Hadi pada 1 November lalu apabila Ahli Parlimen Marang berkenaan menawarkan diri menjadi penasihat kerajaan jika Umno menukar dasar pemerintahan mereka.

Husam berkata kenyataan tersebut menggambarkan Abdul Hadi bebas melontarkan apa sahaja kenyataan tanpa mempedulikan pendirian parti Islam itu.

“Saya dalilkan dengan respon PAS Selangor menerusi kenyataan pesuruhjayanya yang menolak hubungan dengan PERKASA, hampir sebaik sahaja foto Presiden PERKASA memeluk Presiden PAS menjadi viral.

“Jika tindakan presiden menjalin hubungan dengan PERKASA telah diputuskan dalam mesyuarat pusat, tentulah Pesuruhjaya Selangor tidak akan mengeluarkan komen menentang arus itu.

"Ini semua menunjukkan perbezaan PAS hari ini dan masa lalu. Adakah saya berubah atau yang telah PAS berubah?" jelas Husam.

Beliau menambah, walaupun Abdul Hadi sentiasa cuba untuk merealisasikan kerajaan perpaduan dengan Umno, namun perkara itu tidak pernah diisytiharkan dalam muktamar PAS.

Sebaliknya, Husam berkata, ia telah menyebabkan keretakan dalam PAS.