Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Sunday, November 29, 2015

Lajim: Nurul Izzah, jangan gundah gulana

Shakira Buang Hari ini, 4:53 petang Hari ini, 5:07 petang
Kepimpinan PKR hari ini terus menerus memberi sokongan kepada Naib Presiden Nurul Izzah Anwar dengan menyifatkan isu beliau bergambar dengan Puteri Sulu Jacel Kiram baru-baru ini sebagai "perkara biasa".

Pengerusi Majlis Pimpinan Sabah, Datuk Lajim Ukim berkata anggota parlimen Lembah Pantai itu tidak perlu gundah-gulana kerana rakyat di negeri itu sedikit pun tidak terkesan dengan tindakannya itu.

Sebaliknya, pemimpin Sabah itu berkata isu tersebut sengaja dibangkitkan kerajaan Umno-BN.

"Nurul Izzah jangan gundah-gulana, soal ambil gambar dengan anak Sultan Kiram tidak ada isu.

"Isu itu sengaja dibangkitkan oleh Umno," katanya dalam ucapan penggulungan Kongres Nasional Tahunan PKR ke-11 hari ini.

Gambar pertemuan Nurul Izzah itu tersebar selepas Jacel memuat naik empat keping gambar pada 9 November dalam akaun Facebook beliau.

Ekoran itu Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendakwa dengan mengaitkan beliau dengan perbuatan khianat kepada negara ekoran pertemuannya dengan Jacel.

Bagaimanapun, selepas itu naib presiden PKR itu menyatakan kekesalannya susulan kegusaran yang timbul akibat foto beliau bersama Jacel tersebar dan beliau turut memfailkan saman fitnah terhadap Khalid dan Ismail.

Bagaimanapun, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam berkata tindakan mengambil gambar tidak boleh dianggap pengkhianatan berbanding penjualan aset penjana tenaga 1MDB, Edra Global Energy Bhd kepada General Nuclear Power Corporation (CGN) dari China.

Sementara itu bercakap kepada pemberita selepas kongres itu, Dr Wan Azizah sekali lagi mempertahankan tindakan anaknya bergambar dengan Jacel itu dengan menyifatkan ia sebagai perkara kecil.

Menurut MP Permatang Pauh itu berkata lagi Nurul Izzah bukan hos dalam pertemuan itu sehingga boleh mencetuskan kemarahan orang ramai termasuk rakyat Sabah.

"Ia merupakan perkara kecil dan Nurul Izzah bukanlah hos. Jika anda adalah tetamu, anda tidak ada kena mengena dengan senarai tetamu tersebut.

"Beliau sudah pun meminta maaf kerana tidak memaksudkannya," katanya.

Ketua pembangkang itu mendakwa BN cuba memperbesarkan isu tersebut, mahu membunuh watak Nurul Izzah sebagai ahli politik sekaligus menghentam pembangkang serta mahu menjatuhkan reputasi di mata rakyat.

"Soal gambar ini sebenarnya satu cara Umno-BN mahu membunuh watak Izzah dalam dunia politik. Ini permainan bagi mereka sebab itu ia selalu dimainkan.

"Namun, Izzah telah memohon maaf dan dia tidak bermaksud untuk melukai hati sesiapa pun," katanya ADUN Kajang itu.

Sementara itu, Wan Azizah melahirkan rasa bangganya dengan kongres yang berlangsung selama tiga hari ini, ia menunjukkan rakyat semakin yakin dan percaya dengan parti itu

"Kongres berjaya dan ini satu landasan bagaimana nak teruskan dan perjuangkan hak-hak rakyat," katanya.