Saturday, November 7, 2015

Murah sangatkah harga diri pemimpin Pas?

RAZIATUL HANUM A.RAJAK
7 NOVEMBER 2015
SHAH ALAM - Murah sangatkah harga diri pemimpin Pas? Demikian persoalan yang dibangkitkan Naib Presiden Pas, Idris Ahmad yang dipercayai ditujukan kepada Adun Salor, Datuk Husam Musa.

Ia berikutan semalam, Husam yang juga bekas naib presiden Pas dilaporkan mendakwa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhasrat untuk menjadi penasihat kepada kerajaan yang bertaraf menteri.

Beliau juga mendakwa Abdul Hadi mengaku pernah merancang untuk bekerjasama dengan Umno bagi menubuhkan kerajaan perpaduan di Selangor.

"Janganlah marah dengan Pas sehingga sanggup membuat tuduhan yang tidak berasas.

"Murah sangatkah harga diri pemimpin Pas?," katanya melalui kemaskini status di Facebooknya, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Husam dedah niat Abdul Hadi?]

Akui terkejut dengan dakwaan itu, Idris meminta Husam mendengar kembali rakaman kenyataan Abdul Hadi dengan teliti.

"Saya terkejut apabila bekas pemimpin tertinggi Pas menyatakan Pas akan dilantik sebagai penasihat yang bergaji menteri.

"Kalau boleh tolong dengar dengan telinga dan hati yang terbuka apa yang dimaksudkan oleh Presiden. Kenyataan Presiden boleh didengari melalui rakaman penuh," katanya.

Sebelum ini, Abdul Hadi menyatakan kesediaan parti itu untuk menjalin kerjasama dengan semua pihak termasuk BN dalam perkara-perkara yang memberi keuntungan kepada rakyat.

“Pas sedia menjadi penasihat dan pembantu sekiranya Umno ubah dasar pemerintahan. Kita bukan gilakan kuasa atau mahu menguasai Putrajaya. Sekiranya mereka enggan terima nasihat atau pandangan, barulah kita akan ambil pendekatan lain iaitu ‘ambil alih’ pemerintahan.

“Kita sekarang mahu perbetulkan kerajaan, bukan mahu ikut kerajaan atau berebut jawatan. Kita sekarang bukan mahu jatuhkan Perdana Menteri tetapi mahu perbetulkan dasar yang dibawa,” kata Abdul Hadi.

Namun tegasnya, tawaran itu bukan bermaksud Pas mahu bekerjasama dari segi politik dengan BN.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-