Sunday, November 22, 2015

'Nurul Izzah akan dipanggil minggu depan, walaupun telah mohon maaf'

Khalid amat marah, kerana Nurul Izzah sanggup berjumpa Jacel yang merupakan musuh negara. - Foto arkib TRP/ Wan Kah Hoong

KUALA LUMPUR, 22 November:


Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar boleh ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dan Seksyen 124 Kanun Keseksaan, susulan pertemuannya dengan Puteri Sultan Sulu, Jacel Kiram pada 9 November lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis akan memanggil Nurul Izzah pada minggu depan, untuk disoal siasat bagi mengetahui tujuan sebenar pertemuan penuh kontroversi itu.

“Walaupun beliau telah memohon maaf, tetapi pihak kami masih akan memanggilnya untuk disoal siasat mengenai tujuan sebenar pertemuan itu.

“Ini perkara serius, seorang Ahli Parlimen pergi berjumpa dengan musuh negara yang telah mengorbankan nyawa ramai rakyat Malaysia,” katanya pada sidang media sempena Program Sunathon 2015 di Masjid Bukit Aman, hari ini.

Tambahnya, tindakan Naib Presiden PKR itu amat meragukan, kerana pertemuan terbabit dilihat bukan secara kebetulan dan boleh mengancam keselamatan negara.

“Mana kita nak tahu serangan ke atas Sabah pada 2013 yang lalu, didalangi orang dalam negara?

“Pada pendapat saya, gambar pertemuan mereka lebih kepada dirancang dan bukan secara kebetulan. Paling penting, kami nak tahu apa tujuan mereka berjumpa.

“Lagi sekali saya tegaskan, tindakan beliau boleh mengancam keselamatan negara. Sebagai Ketua Polis Negara, saya amat marah, kerana beliau sanggup berjumpa musuh negara,” jelasnya.

Semalam, Nurul Izzah menyatakan kekesalan dengan kecaman yang diterima, susulan pertemuannya dengan Jacel di Filipina, pada awal bulan ini.

Beliau adalah antara 15 tetamu yang dijemput penganjur program, iaitu Council on Philippine Affairs & The Asian Institute for Democracy, pejabat Datuk Bandar Manila dan Naib Presiden Filipina.

“Saya tahu dan faham perasaan ahli-ahli keluarga patriot serta perajurit yang terkorban, akibat pencerobohan Lahad Datu dan rakyat Malaysia amnya cukup terasa serta marah, akibat gambar saya dengan Jacel Kiram, dan saya berasa amat kesal atas hakikat ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/11/22/nurul-izzah-akan-dipanggil-minggu-depan-walaupun-telah-mohon-maaf/#ixzz3sBkqGfUP

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-