Sunday, November 22, 2015

Nurul Izzah perjelas pertemuan dengan Jacel Kiram

Nurul Izzah berkata Jacel Kiram merupakan antara 15 tetamu yang dijemput penganjur program, iaitu Council on Philippine Affairs & The Asian Institute for Democracy, pejabat Datuk Bandar Manila dan pejabat Naib Presiden Filipina. - Foto TRP/Adib Hakim
KUALA LUMPUR, 21 November:

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar tampil menegaskan mengenai gambar kontroversinya bahawa beliau tidak sekali-kali memanggil mesyuarat atau pertemuan dan tidak pernah berkenalan dengan anak perempuan Sultan Sulu, Puteri Jacel Kiram pada 9 November lalu.

Sambil berasa kesal dengan kecaman yang diterima ekoran kontroversi itu, kata Nurul Izzah, Jacel merupakan antara 15 tetamu yang dijemput penganjur program, iaitu Council on Philippine Affairs & The Asian Institute for Democracy, pejabat Datuk Bandar Manila dan pejabat Naib Presiden Filipina.

Malah katanya, semua yang hadir di program itu juga turut bergambar dengannya.

“Semua yang hadir di program tersebut telah bergambar dengan saya sebagai tanda sokongan terhadap laporan Kumpulan Kerja Mengenai Penahanan Tanpa Bicara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nation Working Group on Arbitrary Detention) yang menggesa agar Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan serta-merta.

“Saya tahu dan faham ahli-ahli keluarga patriot dan perajurit yang terkorban akibat pencerobohan Lahad Datu dan rakyat Malaysia amnya cukup terasa dan marah akibat gambar saya dan Jacel Kiram, dan saya berasa amat kesal atas hakikat ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai itu lagi, beliau akan sentiasa mempertahankan Sabah sebagai sebahagian daripada negara Malaysia yang tercinta.

Nurul Izzah juga bersedia memberikan kerjasama dengan pihak berkuasa berhubung kontroversi isu tersebut.

“Simpati dan sokongan saya dari dulu hingga bila-bila adalah kepada para perajurit pahlawan negara yang terkorban serta komuniti-komuniti yang masih terkesan akibat konflik ini serta desakan puak pemisah.

“Tidak ada apa-apa yang hendak saya sembunyikan, dan saya bersedia untuk memberi kerjasama dengan pihak berkuasa untuk menjelaskan lawatan saya itu.

Sementara itu, ketika dihubungi The Rakyat Post, Nurul Izzah berkata setakat ini masih tidak mendapat panggilan daripada pihak polis.

“Setakat ini masih tidak dapat panggilan daripada pihak polis. Namun saya dimaklumkan ada tiga laporan polis sudah dibuat terhadap saya,” katanya.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/11/21/nurul-izzah-perjelas-pertemuan-dengan-jacel-kiram/#ixzz3s8IhhhXG

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-