Saturday, November 21, 2015

Pas akui ubah pendekatan dengan Umno

WARTAWAN SINAR HARIAN
21 NOVEMBER 2015
Idris ketika memberi ucapan dalam ceramah Sambutan 60 tahun Pas Kelantan yang diadakan di Dataran Ilmu, Kota Bharu.
KOTA BHARU – Pas akui parti itu menggunakan pendekatan berbeza ketika berdepan dengan Umno, berbeza dengan amalan yang dipraktikkan sebelum ini.

Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, walaupun terdapat pimpinan Pas mengadakan pertemuan dengan Umno, ia bukan bermaksud Pas akan menjalinkan hubungan politik dengan parti itu.

“Takkan lah kita jumpa orang Umno kita tidak boleh bercakap, nak macam itu ke, takkan kita nak balik kaedah lama balik, kalu jumpa orang Umno, nak tindih bayang pun tidak boleh,”

“Pas ini ada dasar, kita ada Majlis Syura, kita ada AJK Pas pusat, Lajnah politik, jangan tuan-tuan runsing, tengok kepimpinan Pas minum kopi dengan orang Umno, terus kata nak masuk Umno,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ceramah Sambutan 60 tahun Pas Kelantan yang diadakan di Dataran Ilmu, di sini malam tadi.

Isu kerjasama Pas-Umno kini kembali hangat diperkatakan apabila bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa mendedahkan pimpinan parti itu mahu mewujudkan kerajaan perpaduan selepas pilihan raya umum ke 12 (PRU-12).

Dakwa Husam, tindakan itu gagal setelah kerusi yang diperoleh tidak cukup untuk mewujudkan sebuah kerajaan.

Dalam ceramah tersebut, Idris turut mengesahkan tiada perbincangan khususnya agenda untuk bergabung dengan Umno dalam mesyuarat Majlis Syura minggu lalu.

“Sebab itu tuan puan, setakat hari ini, jangan runsinglah, mesyuarat terakhir minggu lepas majlis syura, jawatankuasa Pas pusat tak pernah bincang pun nak masuk Umno ini, tidak ada, malah kita tegaskan lagi sekali, kita dengan Umno ini tak ada apa,”katanya.

Idris berkata, mereka yang menyertai Pas bukan kerana ikutan mana-mana individu sebaliknya kerana dasar parti itu yang mahukan Islam dimartabatkan.

“Kalau ada pemimpin Pas yang dekat dengan Umno, dia seorang sahaja dekat dengan Umno. Sebab itu tuan-tuan jangan bimbang tidak ada orang pas yang nak masuk Umno ni,”katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-