Monday, November 9, 2015

Pas Kelantan rujuk kes Husam ke Pas Pusat

SITI FATIHAH AWANG
KOTA BHARU - Pas Kelantan menyerahkan kepada Jawatankuasa Pas Pusat tentukan sebarang tindakan terhadap Bekas Naib Presiden parti itu, Datuk Husam Musa yang lantang mengkritik parti kebelakangan ini.

Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, tindakan Husam sejak kebelakangan ini disifatkan sebagai mengumpul alasan yang boleh menghalalkan tindakannya menyerang parti.

“Kita (Pas Kelantan) sering mengadakan mesyuarat, sama ada perkara ini dibangkitkan atau tidak, itu saya tidak tahu. Cuma kita di peringkat negeri dan sebagainya tidak boleh mengambil sebarang tindakan, hanya jawatankuasa pusat sahaja yang boleh,” katanya selepas merasmikan Program Gotong-royong Mega di Taman Transit, di sini semalam.

Beliau yang juga Naib Presiden Pas diminta mengulas mengenai dakwaan Husam lantang menyerang parti dan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terutamanya dalam isu dakwaan kerjasama antara Pas dan Umno.

Mohd Amar berkata, beliau tidak boleh menyatakan sama ada Husam bercakap benar atau tidak mengenai kerjasama dengan Umno tersebut, namun mengikut maklumat yang beliau ada, ia tidaklah sebagaimana dakwaan Husam tersebut.

Mohd Amar juga turut memberitahu, tindakan Husam itu tidak mengikut saluran yang betul dan ia bukan sahaja memberi kesan kepada parti, malah secara peribadinya kepada Adun Salor itu sendiri.

“Bagi saya, tidak kena lah mengkritik dan menyerang parti secara terbuka, sebelum ini pun berulang kali arwah Tok Guru Nik Aziz sebut, parti ini jemaah, berumah tangga, jika ada masalah, jangan cakap di kedai kopi, gunalah saluran yang betul.

“Bila dia (Husam) buat macam itu, banyak sangat orang berfikir yang tidak betul. Saya percaya orang Pas tidak boleh terima cara dia. Bila seseorang bercakap mengenai parti dan politik, macam orang kata kepada ayah kita di kedai kopi, takkan kita sebagai anak tidak terasa?” katanya.

Husam sebelum ini turut mendakwa, teguran yang diutarakannya tidak diterima parti, dan Mohd Amar ketika mengulas dakwaan tersebut memberitahu, beliau sendiri tidak mengetahui apakah yang ditegur Husam sebelum ini.

“Apa yang ditegur, saya pun nak tahu, dalam isu presiden ini pernah ke dia bangkitkan sebelum ini, kenapa sekarang baru timbul, selepas muktamar dan sebagainya. Sepatutnya sebelum muktamar lagi perlu dibangkitkan,” katanya.

Yang terbaru, Husam didakwa menyarankan Abdul Hadi memberi laluan kepada kepimpinan baru yang boleh membawa perubahan kepada parti Islam itu dan tanggungjawab yang digalas diganti dengan Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Mengulas cadangan tersebut, Mohd Amar berkata, adakah benar masalah yang dikatakan wujud dalam Pas kini terbukti disebabkan Abdul hadi.

“Cadangan itu semua orang boleh buat, tetapi adakah betul masalah yang dialami kini adalah disebabkan oleh presiden, atau adakah masalah ini dicetuskan oleh ahli-ahli Pas terutamanya yang kalah dalam pemilihan baru ini, bukan presiden yang menjadi masalah,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-