Monday, November 9, 2015

PAS tolak syor kerjasama dengan Pakatan Harapan

Shakira Buang
PAS menolak keras cadangan bekerjasama dengan Pakatan Harapan di Selangor melalui satu perjanjian rasmi, bagi menyelesaikan kontroversi status dan kedudukan kerajaan negeri itu, tegas Naib Presiden Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

"Menteri besar Selangor (Mohamed Azmin Ali) dah cakap tidak ada Pakatan Harapan di Selangor. PAS kekal dengan pendirian kita untuk tidak bekerjasama dengan DAP dan AMANAH.

"Hubungan kita dengan PKR sahaja, tak lebih dari itu. Kita (PAS) sebahagian daripada kerajaan Selangor dan tidak ada masalah apa," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Mohd Amar mengulas cadangan Parti Amanah Negara (AMANAH) bahawa persoalan status dan kedudukan kerajaan Selangor boleh diselesaikan melalui satu perjanjian kerjasama rasmi antara Pakatan Harapan dan PAS.

Ahli Jawatankuasa AMANAH, Khalid Samad berkata pendekatan itu perlu bagi mengelakkan kedudukan sama ada Pakatan Harapan Selangor atau PAS Selangor terjejas di negeri itu dan kedudukan kedua-duanya diiktiraf serta hubungannya menjadi rasmi melalui perjanjian itu.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor Azmin Ali dilapor berkata tidak perlu pembentukan Pakatan Harapan di Selangor seperti yang dilaksanakan di Pulau Pinang sebab senario politik di kedua-dua negeri berbeza.

Timbalan Presiden PKR itu berkata mesyuarat majlis tertinggi PKR telah meluluskan resolusi untuk terus bekerjasama dengan semua parti pembangkang termasuk di Sabah dan Sarawak.

Diminta mengulas berhubung langkah Azmin yang mahu berbincang pimpinan AMANAH Khamis ini, Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan berkata pihaknya mengambil pendirian tunggu dan lihat.

"Kita tunggu dululah. Kita tak boleh komen lagi sebelum beliau jumpa dan ulas," katanya.

Azmin mahu mengadakan pertemuan itu untuk berbincang dengan pelbagai isu khususnya membabitkan kerajaan negeri dan cadangan Khalid supaya Pakatan Harapan menandatangani perjanjian bersama kerajaan Selangor.

Ditanya mengenai perancangan PAS sekiranya Azmin bersetuju dengan pembentukan gabungan baru itu, Mohd Amar berkata:

"Terlalu awal nak komen andaian ini," katanya yang juga timbalan pesuruhjaya I PAS Kelantan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-