Monday, November 16, 2015

PAS-UMNO: "Kalau dah rapat sangat, nikah sajalah"

SELAYANG 16 NOV: Menyambut kenyataan Mufti Perlis bahawa PAS dan UMNO kini sudah tidak lagi banyak perbezaan, Lim Guan Eng mencadangkan kedua-dua parti itu agar cepat-cepat “bernikah”.

Setiausaha Agung DAP itu berkata, jika kedua-dua parti sudah sama perjuangan dan kepercayaan politik mereka, mereka tidak perlu lagi berpura-pura.

“Mufti Perlis (Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin) telah berkata bahawa PAS dan UMNO sudah sama sekarang, yang berbeza hanya nama, dan berlainan kopiah dan songkok sahaja.

“Jadi tunggu apa lagi? Nikah sajalah,” katanya sewaktu merasmikan Pusat Komuniti DAP Taman Templer di sini petang tadi.
Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang memetik tulisan Dr Asri dalam facebook beliau hari ini yang mencatatkan: “PAS hari ini hampir menyamai Umno daripada segala segi melainkan perbezaan nama, kopiah dan songkok saja.

“Itu pun bukan soal pokok. Jika PAS dan UMNO dapat menjadi sahabat baik yang berpesan kepada kebaikan dan kebenaran serta mencegah kemungkaran mungkin banyak manfaatnya.”

Kata Guan Eng, keadaan sudah berbeza kerana PAS suatu masa dahulu keras menentang perkauman tetapi sejak akhir-akhir ini, kenyataan pimpinan tertingginya mencerminkan ia rapat dengan UMNO dan Barisan Nasional yang mengamal politik perkauman.

Malah, tambah beliau, kerajaan Terengganu telah menawarkan jawatan penasihat kerajaan negeri UMNO-BN kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Mengapa jawatan itu tidak ditawarkan kepada tokoh-tokoh UMNO yang berjasa? Tun Dr Mahathir Mohamad pun tidak ditawarkan sebagai penasihat untuk kerajaan UMNO-BN,” tegasnya.

Menurutnya, PAS tidak lagi boleh dianggap sebagai pembangkang tulen kerana ia hanya sekadar pembangkang celup berikutan sikapnya yang semakin akrab dengan UMNO, walaupun menyedari pimpinan UMNO semakin korup dan salah guna kuasa.
“Alternatif sebenar untuk rakyat adalah Pakatan Harapan. Kita tetap berprinsip dan berjuang demi rakyat. Kerana kita berprinsip, kita rela berkorban,” kata beliau.

Majlis itu menyaksikan pembukaan pusat komuniti DAP yang pertama di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Taman Templer. Ia dipimpin oleh penyelaras DAP untuk DUN Taman Templer, Edry Faizal Eddy Yusof yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Negeri Selangor.

Turut hadir di majlis itu adalah Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua; Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran; Adun Bukit Tunku, Lau Weng San; Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng, dan Ahli Jawatankuasa Wanita DAP Kebangsaan, Young Syefura Othman (Rara).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-