Thursday, November 12, 2015

Peguam negara akui bertanding atas tiket Umno dalam PRU 1990

OLEH LIONEL MORAIS DAN ANISAH SHUKRY
Published: 12 November 2015 5:40 PM

Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengakui menjadi calon bagi Umno dalam pilihan raya umum (PRU) pada 1990, tetapi menafikan ia mempengaruhi peranannya sebagai peguam negara pada masa ini. Gambar fail The Malaysian Insider, 12 November, 2015.

Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengakui menjadi calon bagi Umno dalam pilihan raya umum (PRU) pada 1990, tetapi menafikan ia mempengaruhi peranannya sebagai peguam negara pada masa ini.

“Ya, saya pernah jadi calon tetapi semua orang perlu diingatkan setiap suruhanjaya kehakiman, hakim mahkamah tinggi, hakim mahkamah rayuan dan mahkamah persekutuan perlu angkat sumpah untuk menegakkan undang-undang.

“Jadi berat sebelah apa yang mereka cakap ini?,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata, kejadian seumpama itu bukan sesuatu yang luar biasa kerana Datuk Ariff Yussof, yang bertanding atas tiket PAS dalam PRU pada 2004, kemudiannya dilantik sebagai suruhanjaya kehakiman pada 2008.

Apandi berkata beliau sendiri dilantik sebagai suruhanjaya kehakiman pada 2013, iaitu 13 tahun selepas bertanding dalam PRU pada 1990 itu.

Peguam negara berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dokumen mahkamah yang ditunjukkan kepada The Malaysian Insider, yang mendedahkan beliau bertanding sebagai calon Umno pada 1990.

Apandi kemudian ketika menjadi hakim bagi satu kes di Mahkamah Tinggi Kelantan, diminta memberi respons terhadap permohonan melucutkan kelayakannya mendengar kes itu dengan alasan beliau akan berat sebelah.

“Saya menjadi calon untuk Umno pada PRU 1990 adalah situasi yang sudah lama, 14 tahun lalu,” tulis Apandi, ketika menolak permohonan berkenaan pada 18 April, 2004.

Dalam temubual eksklusif dengan The Malaysian Insider yang disiarkan pada Selasa, Apandai menafikan beliau pernah memegang jawatan bendahari Umno Kelantan, meskipun pelbagai laporan menyatakan sebaliknya.

Apandi berkata jawatan rasmi tertinggi dipegangnya ialah ketua Pemuda Umno di bahagian Pengkalan Chepa, Kelantan.

Tetapi bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu dengan cepat berkata jawatannya dalam Umno “tiada apa-apa” dan tidak ada kaitan dengan jawatankuasa penerangan negeri.

Beliau juga dikenali sebagai “penasihat undang-undang” Umno kerana mengendalikan petisyen pilihan raya parti itu selepas PRU pada 1982.

Tetapi, dalam Perlembagaan parti, tidak wujud jawatan penasihat undang-undang, kata Apandi.

Walaupun ada yang berkata tanpa memegang jawatan, tempoh yang lama dalam Umno akan menyebabkan beliau terhutang budi kepada parti itu, Apandi berpendapat sebaliknya.

Beliau berkata, beliau menghabiskan lebih banyak masa di Majlis Peguam; 12 tahun, berbanding 9 tahun dalam Umno.

“Saya jadi mangsa tanggapan salah kerana setahu saya, tempoh singkat salam dalam Umno – jelasnya saya tidak memegang sebarang jawatan tinggi – digunakan (terhadap saya) untuk mengatakan saya orang Umno dan sebagainya.

“Tetapi, sebaliknya, saya lebih aktif dalam Majlis Peguam,” katanya. – 12 November, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/peguam-negara-akui-bertanding-atas-tiket-umno-dalam-pru-1990#sthash.SDGVUkbu.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-