Wednesday, November 4, 2015

Pekerja Bangladesh lebih setia dan amanah, kata Zahid

OLEH MD IZWAN
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan 1.5 juta pekerja Bangladesh masih belum dibawa masuk lagi ke negara ini kerana masih tiada perjanjian yang dimeterai.Gambar fail The Malaysian Insider, 4 November, 2015.

Malaysia memilih membawa masuk pekerja Bangladesh adalah kerana mereka lebih amanah berbanding pekerja asing lain, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid menjawab kebimbangan susulan rancangan Putrajaya membawa 1.5 juta pekerja dari negara tersebut dalam tempoh 3 tahun, keputusan tersebut mengundang banyak kritikan khususnya daripada kesatuan kerja.

"Tanpa prejudis, kesetiaan pekerja Bangladesh adalah lebih baik, lebih amanah berbanding pekerja lain.

"Dan kita dapati, mereka lebih amanah berbanding pekerja asing lain, kalau jaga kaunter mereka lebih amanah. Mereka (majikan) yang minta, bukan KDN," katanya semasa sesi penggulungan Bajet 2016 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau juga menjelaskan pekerja asing tersebut masih belum dibawa masuk lagi ke negara ini kerana masih tiada perjanjian yang dimeterai.

Menurutnya, cadangan tersebut meletakkan syarat supaya majikan membuat permohonan dalam talian, mengikut keperluan semasa.

Pekerja-pekerja ini akan dilatih terlebih dahulu dan diberikan latihan komunikasi rentas budaya di Bangladesh sebelum dibawa ke Malaysia bagi memastikan mereka memahami adat dan gaya hidup tempatan.

Langkah permohonan dalam talian dibuat bagi memastikan proses membawa masuk pekerja tersebut lebih jelas dan mengelak pembaziran.

"Kami sedang memastikan perkara ini supaya tidak berulang lagi," katanya. – 4 November, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pekerja-bangladesh-lebih-setia-dan-amanah-kata-zahid#sthash.8s4iXlzq.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-