Tuesday, November 3, 2015

Pemilihan DAP Selangor tiada kaitan dengan kaum, kata pemimpin Melayu

OLEH ANISAH SHUKRY
Keputusan pemilihan DAP Selangor pada Ahad lalu tidak ada kena mengena dengan kaum, kata pakar undang-undang Dr Abdul Aziz Bari, yang dilantik ke dalam jawatankuasa itu walaupun tidak bertanding. Gambar fail The Malaysian Insider, 3 November, 2015.

Keputusan pemilihan DAP Selangor pada Ahad lalu tidak ada kena mengena dengan kaum, kata pemimpin Melayu parti itu, selepas 3 calon Melayu yang bertanding gagal meraih undi mencukupi untuk berada pada kedudukan 15 teratas.

Pemimpin itu berkata, 15 yang menduduki kerusi dalam jawatankuasa DAP Selangor itu menang berdasarkan merit, bukannya disebabkan faktor kaum.

Pakar undang-undang perlembagaan, ahli akademik Dr Abdul Aziz Bari, yang dilantik ke dalam jawatankuasa itu walaupun tidak bertanding berkata, beliau percaya proses pemilihan dijalankan secara telus dan adil.

"Sama seperti mana-mana pemilihan parti lain, ia semata-mata (tentang) siapa yang anda kenali dan selesa dengannya. Sehubungan itu, saya perlu katakan, proses pemilihan berjalan dengan telus dan adil.

"Dan saya fikir, perwakilan masih meletakkan keupayaan dan perkhidmatan kepada parti sebagai keutamaan, kerana itulah Gobind Singh Deo memenangi kedudukan teratas.

"Gobind bukan Cina dan tidak bertutur dalam bahasa Cina. Tiada kaitan dengan kaum," kata Aziz kepada The Malaysian Insider dalam satu temu bual menerusi emel.

Gobind menang 736 undi dan mengekalkan jawatannya sebagai timbalan pengerusi. Tony Pua, yang menerima 495 undi dalam pemilihan itu, dilantik semula sebagai pengerusi.

Di bawah sistem pemilihan DAP, 15 calon yang menerima undi terbanyak untuk menduduki jawatankuasa negeri akan menentukan jawatan di kalangan mereka.

Ketiga-tiga pemimpin DAP Melayu yang bertanding dalam pemilihan pada Ahad adalah Edry Faizal Eddy, Nor Miswary Ramli dan Mohamad Samot.

Tiada seorang pun daripada mereka memenangi undi yang mencukupi untuk berada pada kedudukan 15 teratas dan dipilih ke dalam jawatankuasa itu.

Bagaimanapun, Edry, yang menduduki tempat ke-22 dengan 272 undi, dilantik ke jawatankuasa itu bersama Aziz dan Young Syefura Othman, kedua-dua mereka tidak bertanding dalam pemilihan itu.

Dua yang lain dilantik ke dalam jawatankuasa itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Gasing Rajiv Risyakaran dan Adun Damansara Utama Yeo Bee Yin.

Keputusan pemilihan Ahad lalu, menjadi kritikan portal pro-Umno yang dengan cepat menuduh ia bersifat perkauman.

Agenda Daily, sebuah portal berita bahasa Malaysia yang melaporkan mengenai politik Melayu melaporkan perwakilan nampaknya masih terlalu "kedekut" untuk memberi kedudukan dan kuasa kepada orang Melayu.

Ia menyamakan pelantikan Aziz, Syefura dan Edry ke dalam jawatankuasa itu sebagai "gula-gula" untuk memuaskan hati masyarakat.

Begitu juga portal berita Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) berkata, jelas DAP menolak calon pemimpin Melayu, dan pelantikan ketiga-tiga mereka menggambarkan hanya pemimpin atasannya yang menggula-gula segelintir orang Melayu agar menyertai parti itu.

Tetapi Edry berkata, sememangnya logik orang Melayu tidak ada yang menang, memandangkan bilangan mereka yang bertanding adalah kecil dan mereka tidak biasa dengan akar umbi.

"Kekalahan saya dan 2 calon Melayu lain tidak perlu dilihat melalui lensa perkauman.

"Saya percaya kami kalah bukan kerana kami Melayu, tetapi kerana kami tidak begitu terkenal di peringkat akar umbi," kata Edry dalam satu kenyataan semalam.

Katanya, ramai calon kaum lain menerima undi lebih rendah daripada yang diterimanya, dan menuduh pengkritik mengabaikan fakta ini.

"Mereka yang ingin bermain dengan sentimen (kaum) hanya membesarkan isu yang kecil dan memilih fakta yang sesuai dengan sudut pemikiran mereka sahaja," kata Edry.

Bagaimanapun, kekurangan orang Melayu dalam DAP sejak sekian lama menjadi topik yang ingin dielakkan parti yang majoritinya dianggotai kaum Cina itu.

Aziz semasa sesi perbahasannya di Konvensyen DAP Selangor pada Ahad lepas berkata, DAP perlu menarik lebih banyak sokongan orang Melayu, memandangkan mereka merupakan majoriti pengundi di negara ini.

Tetapi Aziz berkata kepada The Malaysian Insider, mereka yang mengkritik mengenai kekurangan orang Melayu dalam parti itu juga perlu berlaku adil kepada DAP.

Bekas ahli PKR itu berkata, DAP berdepan banyak masalah yang menekan, termasuk dibangkitkan Pendaftar Pertubuhan.

"Mengapa tiada siapa yang menyebut kegagalan Umno menarik anak negeri Sabah, sebagai contoh?" soalnya.

Beliau berkata, malah PKR, yang mendakwa ia parti berbilang kaum, kebanyakan ahlinya ialah Melayu dan orang bukan Melayu yang menyertainya lebih fasih berbahasa Melayu.

Ditanya mengapa beliau memilih untuk tidak bertanding dalam pemilihan Ahad lalu, Aziz berkata beliau biasanya tidak bertanding dalam pemilihan.

"Dalam PKR pun, saya tidak bertanding; saya hanya berbuat demikian selepas menyedari saya perlu mempunyai akses kepada jentera parti untuk memenangi pilihan raya dan saya tidak bertanding apa-apa jawatan di peringkat kebangsaan; hanya di peringkat bahagian.

"Saya terima (pelantikan) kerana saya berjanji dengan parti; hingga kini saya belum pasti sama ada akan bertanding pada pemilihan DAP akan datang,” katanya.

Walaupun tidak dipilih akar umbi, Aziz berkata beliau masih merasa ada hubungan "tidak langsung" dengan mereka kerana beliau bertanggungjawab kepada pemimpin tertinggi DAP, yang semuanya dipilih akar umbi parti.

"Saya tidak mahu melihat DAP merosot seperti beberapa parti di mana sumbernya dikumpulkan untuk pertandingan dalaman yang akhirnya bertukar kepada politik wang.

"Ini tidak baik untuk rakyat secara umumnya," katanya. – 3 November, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pemilihan-dap-selangor-tiada-kaitan-dengan-kaum-kata-pemimpin-melayu#sthash.c5vfx46o.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-