Tuesday, November 3, 2015

Pemimpin 'baju merah', Dr Mahathir, Muhyiddin antara 7 dalam perhatian Umno

OLEH MOHD FARHAN DARWIS
Bekas presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad dikatakan ada dalam senarai perhatian pimpinan parti untuk diambil tindakan disiplin, selain timbalan presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, naib presiden Datuk Seri Shafie Apdal, bekas menteri Tan Sri Zainuddin Maidin, bekas menteri besar Kedah Tan Sri Sanusi Junid, Ketua Umno bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee dan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Mohd Yunos.Gambar fail The Malaysian Insider, 3 November, 2015.

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Mohd Yunos, dikenali sebagai jurucakap utama perhimpunan baju merah, dipercayai merupakan salah seorang daripada 7 pemimpin Umno yang berdepan kemungkinan digantung daripada parti, menurut sumber.

Mereka lain yang dikatakan turut disenaraikan dalam perhatian pucuk pimpinan tertinggi parti ialah bekas presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad, timbalan presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, naib presiden Datuk Seri Shafie Apdal, bekas menteri Tan Sri Zainuddin Maidin, bekas menteri besar Kedah Tan Sri Sanusi Junid dan ketua Umno bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

Sumber parti turut mendedahkan, pejabat setiausaha agung parti Melayu itu kini sedang meneliti kesalahan didakwa dilakukan ahli parti tersebut yang sebelum ini dikatakan membuat kenyataan "tidak masuk akal".

"Penelitian masih berjalan di pejabat setiausaha agung untuk menentukan kesalahan yang dilakukan mereka," kata sumber kepada The Malaysian Insider.

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebelum ini dilaporkan berkata, mana-mana ahli Umno yang melanggar Perlembagaan parti bakal berdepan tindakan penggantungan.

Setiausaha agung Umno itu berkata, sebaik saja pejabatnya selesai menjalankan siasatan, nama mereka akan dibawa ke pejabat Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dan seterusnya kepada lembaga disiplin parti untuk menentukan bentuk hukuman.

The Malaysian Insider bagaimanapun turut difahamkan, pegawai undang-undang yang dipertanggungjawabkan mengendalikan kes itu menarik diri susulan kesukaran mensabitkan kesalahan terhadap mereka.

"Peguam pun tarik diri, tidak tahu nak sabitkan di bawah kesalahan mana," katanya.

Beliau berkata, Umno turut terdesak untuk mengambil tindakan terhadap Muhyiddin sebelum bermulanya perhimpunan agung pada Disember, bagi mengelakkan beliau merasmikan perhimpunan sayap parti.

Bagaimanapun, parti itu juga difahamkan belum memutuskan pengganti Muhyiddin untuk merasmikan perhimpunan sayap.

"Kalau ada peluang mungkin Muhyiddin hanya memberikan ucapan sewaktu penggulungan di akhir perhimpunan agung," kata sumber itu.

Menurut konvensyen dalam Umno, presiden akan menyampaikan ucapan dan perwakilan akan membahaskan ucapan dasar presiden itu.

Manakala, timbalan presiden Umno akan memberikan ucapan perasmian sayap Pemuda, Puteri, dan Wanita Umno, sehari sebelum perhimpunan agung bermula.

Perhimpunan agung Umno tahun ini dijadualkan berlangsung pada 8 hingga 12 Disember.

Najib pada Jun mengumumkan, pemilihan Umno yang dijadualkan tahun depan ditangguhkan selama 18 bulan.

Kali terakhir Umno mengadakan pemilihan adalah pada Oktober 2013.
Dari kanan bekas menteri besar Kedah Tan Sri Sanusi Junid, bekas presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad, timbalan presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan naib presiden Datuk Seri Shafie Apdal mengadakan sidang akhbar bersama mengutuk tindakan kerajaan terhadap pengkritik. Gambar fail The Malaysian Insider, 3 November, 2015.

Susulan pengguguran Muhyiddin sebagai timbalan perdana menteri pada Julai lalu, terdapat gesaan di peringkat akar umbi Umno Johor supaya pemilihan parti itu dijalankan tanpa penangguhan.

Muhyiddin yang juga merupakan menteri pendidikan, bersama Shafie, menteri kemajuan luar bandar dan wilayah ketika itu, digugurkan daripada Kabinet Najib, dipercayai berpunca daripada kritikan terbuka mereka terhadap skandal yang menyelubungi syarikat pelaburan strategik Kementerian Kewangan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dr Mahathir merupakan pengkritik tegar pentadbiran Najib, terutama berhubung cara Putrajaya mengendalikan skandal 1MDB dan berulang kali menggesa perdana menteri meletak jawatan atau beliau disingkirkan antara lain kerana, katanya, boleh menyebabkan kekalahan Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang.

Jamal merupakan antara penggerak utama perhimpunan baju merah atau Himpunan Rakyat Bersatu 16 September lalu dan salah seorang pemimpin akar umbi Umno yang sering dilihat membuat kenyataan yang menimbulkan kontroversi.

Terbaru, beliau mendedahkan terdapat gerakan senyap di kalangan kira-kira 100 ketua bahagian untuk menjatuhkan Muhyiddin, namun beliau dibidas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz yang mengatakan Jamal bukan individu penting dan kata-katanya itu hanya pandangan peribadi. – 3 November, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/jamal-yunos-dr-mahathir-muhyiddin-shafie-antara-7-dalam-perhatian#sthash.9NxBAcw4.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-