Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Wednesday, November 4, 2015

Pencetus 1MDB punca masalah bukan yang bercakap, kata veteran parti

OLEH KC NAZARI DAN NABIHAH HAMID
Bekas menteri besar Kedah Tan Sri Sanusi Junid percaya kesal kerana Umno melihat beliau dan beberapa individu sebagai punca masalah terhadap isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sedangkan mereka cuma menyuarakannya. – Gambar fail The Malaysian Insider, 4 November, 2015.

Mereka yang memulakan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan mencetuskan semua masalah berkaitan dengannya sebenarnya lebih teruk berbanding yang hanya membincangkan skandal tersebut, kata bekas menteri besar Kedah Tan Sri Sanusi Junid.

Beliau yang dipercayai termasuk dalam senarai 7 pemimpin Umno yang bakal dikenakan tindakan disiplin berkata orang sepertinya, berani lantang bersuara tidak sepatutnya dijadikan sasaran.

"Jika anda kata mereka yang bercakap tentang isu itu menyebabkan perpecahan, maka orang yang menyebabkan masalah itu timbul adalah lebih teruk berbanding yang bercakap tentangnya.

"Bukan kami penyebab masalah, kami hanya bercakap tentangnya. Pastinya bercakap tentang masalah itu lebih baik berbanding menjadi pencetus masalah," veteran Umno itu berkata kepada The Malaysian Insider ketika diminta mengulas laporan mengatakan beliau antara 7 yang sedang berada dalam pemerhatian parti.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mengasaskan 1MDB sebagai firma pelaburan strategik negara dan turut berfungsi sebagai pengerusi lembaga penasihatnya.

Sanusi dikatakan tersenarai sebagai 7 individu yang bakal dikenakan tindakan kerana mengeluarkan "kenyataan tidak masuk akal" terhadap parti.

Beliau hadir pada satu sidang media bersama 5 bekas pemimpin termasuk bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bagi menuntut kerajaan agar tidak menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) terhadap pengkritik parti.

Selain Sanusi, turut dikatakan berada dalam senarai pemerhatian ialah Dr Mahathir, Muhyiddin, Shafie Apdal dan bekas menteri Tan Sri Zainuddin Maidin, yang semuanya secara terbuka mengkritik Najib berhubung 1MDB.

Dua lagi dikatakan sedang diperhatikan ialah Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Mohd Yunus dan Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee, kedua-duanya penyokong kepimpinan Najib.

Jamal dikenali sebagai jurucakap utama "perhimpunan baju merah" atau Himpunan Rakyat Bersatu, yang diadakan pada 16 September sebagai tindak balas terhadap perhimpunan anjuran badan reformasi pilihan raya Bersih 2.0.

Bercakap kepada The Malaysian Insider, beliau berkata beliau tidak percaya dirinya antara yang tersenarai dalam 7 pemimpin dalam pemerhatian Umno dan berkemungkinan digantung daripada parti terbesar Melayu itu.

Bagaimanapun, beliau menerima keputusan itu sekiranya ia dibuat Majlis Tertinggi Umno.

"Saya memang tidak percaya (berita senarai 7 pemimpin Umno) berita daripada sumber itu.

"Saya tidak pernah tidak sehaluan (dengan parti) dan (kenyataan saya) selari dengan apa yang diperkatakan dalam parti, kerana saya percaya apa yang diperjuangkan presiden parti berada pada landasannya," kata Jamal.

Beliau yang berjanji akan menghormati dan akur keputusan parti turut menegaskan tidak akan berganjak daripada memperjuangkan Umno.

"Saya tidak ada masalah, perjuangan perlu diteruskan. Saya masih tetap dalam perjuangan Umno. Dalam prinsip saya, pemimpin umno perlu dipertahankan terutamanya presiden parti," katanya.

Sebaliknya, menurut Sanusi, beliau yakin sebenarnya lebih ramai orang sudah hilang kepercayaan terhadap pentadbiran negara dan parti.

Justeru, beliau percaya senarai mereka yang bakal dikenakan tindakan daripada Umno perlu "diperluaskan" lagi.

"Saya teruja dengan perkara ini. Saya rasa kita perlu perluaskan lagi senarai itu dan ada jawatankuasa warga bagi menilai skandal-skandal ini, aktiviti penipuan yang sedang berlangsung," kata bekas ketua penerangan Umno sewaktu Dr Mahathir menjadi presiden parti itu.

Ini kerana, "psike" nasional kini berupa kebencian terhadap pentadbiran negara katanya, sambil menambah orang ramai dahulu takut dengan kerajaan namun skandal demi skandal yang terbongkar merubah ketakutan itu kepada kebencian.

"Melangkaui ketakutan adalah kebencian dan orang kini mula membenci dan belajar membenci. Maka semua elemen ini, personaliti yang berasaskan dengan mencipta ketakutan.

"Mereka boleh mengugut orang, tetapi mereka perlu ingat, dengan mencetuskan ketakutan, mereka memberikan orang keberanian," katanya kepada The Malaysian Insider.

Sementara itu, bekas menteri penerangan Zainuddin berkata, beliau tidak sedih atau tersinggung kerana dikatakan sedang dipantau untuk tindakan disiplin.

"Saya tidak ada isu. Saya tidak ada masalah jika mereka mahu menggantung saya atau putuskan saya.

"Saya tidak mempunyai kepentingan dalam Umno. Saya tidak rugi apa-apa walaupun sekiranya saya keluar," beliau dipetik sebagai berkata oleh portal berita Malaysiakini. – 4 November, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pencetus-1mdb-punca-masalah-bukan-yang-bercakap-kata-veteran-parti#sthash.vxPIx1os.dpuf