Tuesday, November 17, 2015

PKR nasihat DAP, kurangkan konfrontasi dengan PAS

OLEH KC NAZARI
Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata terlalu awal untuk menyamakan undi kepada PAS sebagai undi untuk Umno, ketika ditemui selepas pelancaran program sukarelawan PKR, Invoke, di Petaling Jaya malam tadi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 17 November, 2015.

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli tidak bersetuju dengan kenyataan DAP yang menyamakan 1 undi kepada bekas sekutu mereka PAS sebagai satu undi buat Umno dan Barisan Nasional (BN).

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, kesimpulan itu terlalu awal dibuat Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng kerana usia perpecahan Pakatan Rakyat (PR) pada masa ini hanya kira-kira 3 atau 4 bulan.

"PAS kini berada pada persimpangan dan mereka perlu merungkai hala tuju mereka dan saya maklum sesetengah kepimpinan tertinggi PAS berkelakuan tertentu tetapi secara umumnya PAS ada pengalaman hampir 60 tahun melawan BN.

"Secara umumnya saya rasa terlalu awal untuk membuat anggapan begitu. Kita baru saja 3 atau 4 bulan selepas pembubaran Pakatan.

"Saya rasa kita perlu bermuhasabah dan orang ramai juga mempunyai peranan menyampaikan mesej kepada PAS," katanya di Petaling Jaya, Selangor malam tadi.

Beliau juga menyimpan hasrat melihat DAP mengambil pendekatan lebih lembut terhadap PAS yang merupakan bekas sekutu mereka dalam PR.

"Saya kekal dengan pendirian ini yang berbeza dengan kepimpinan utama DAP iaitu tiada manfaatnya untuk kita terus berkonfrontasi dengan PAS.

"Ini kerana matlamat akhirnya adalah memastikan pertembungan 1 lawan 1 (dalam pilihan raya umum akan datang) dan ia hanya boleh jadi kenyataan jika ada sedikit keterlibatan (PAS dan DAP)," katanya ketika ditemui selepas pelancaran program sukarelawan PKR, Invoke, di Petaling Jaya malam tadi.

Sementara itu, Rafizi turut optimis Pakatan Harapan bakal menawan kerusi separa luar bandar dalam pilihan raya umum akan datang.

Katanya, ini kerana strategi mereka yang menyasarkan isu yang hampir dengan penduduk kawasan bandar seperti harga kereta dan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) ternyata berkesan.

Beliau berkata, kali ini sukarelawan dari kawasan bandar menerusi program Invoke akan dikerah ke kawasan separa luar bandar bagi memahami isu setempat dan memenangi pengundi di kawasan tersebut.

"Dengan usaha peringkat akar umbi selama 1 atau 2 tahun dengan pasukan setempat, kita akan mampu merubah Putrajaya," katanya. – 17 November, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pkr-nasihat-dap-kurangkan-konfrontasi-dengan-pas#sthash.suMoO0cM.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-