Saturday, November 14, 2015

RM5 bilion caj kewangan Goldman Sachs bagi tempoh 5 tahun, kata Arul Kanda

OLEH MD IZWAN

Published: 14 November 2015 2:01 PM

Presiden 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy berkata, bayaran RM5 bilion kepada Goldman Schs adalah untuk mendapatkan dana melalui 3 bon untuk subsidiari 1MDB, yang dibuat pada 2012 dan 2013. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 14 November, 2015.

Bayaran sebanyak RM5 bilion yang dibuat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada syarikat pelaburan berpengkalan di New York, Goldman Sachs, adalah caj kewangan untuk tempoh 5 tahun dan bukannya setahun, kata Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy.

Katanya, ia bagi meraih dana melalui 3 bon untuk subsidiari 1MDB, yang dibuat pada pada 2012 dan 2013.

"RM5 bilion tersebut merupakan kos untuk 5 tahun, bukan kos 1 tahun," kata Arul pada sesi penerangan 1MDB anjuran Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan salah seorang hadirin yang bertanya mengapa syarikat pelaburan dana negara itu membayar terlalu tinggi kepada Goldman Sachs.

Arul menjelaskan, fi kewangan meningkat setiap tahun memandangkan hutang 1MDB yang meningkat setiap tahun.

"Kita dapat lihat amaun hutang tersebut bukan RM42 bilion pada hari pertama. Jadi, tiap-tiap tahun jumlah hutang meningkat. Oleh itu, jumlah 'financial charges' (caj kewangan) meningkat," katanya.

Katanya, jumlah caj yang dibayar kepada Goldman Sachs sebenarnya tidak lebih 10%.

"Pada 2014, kosnya RM2.4 bilion. Jadi, RM5 bilion itu termasuk RM2.4 bilion tersebut. Jadi, ia bukan 10%, tapi kurang daripada itu," katanya.

Goldman Sachs terlibat dalam inisiatif menerbitkan 3 bon tersebut, yang masing-masing melibatkan dana AS$3 bilion, AS$1.75 bilion dan AS$1.75 bilion.

Bon itu diterbitkan untuk 1MDB Global Investment, 1MDB Energy dan 1MDB Energy (Langat) Limited.

Pengkritik sebelum ini menuduh komisyen yang dibayar kepada Goldman Sachs itu lebih tinggi daripada kadar pasaran untuk terbitan bon.

Ahli Parlimen DAP Tony Pua sebelum ini mendakwa, 1MDB membayar komisyen besar kepada Goldman Sachs termasuk AS$350 juta untuk mendapatkan jaminan pinjaman.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini juga tidak mendedahkan jumlah yang dibayar kepada Goldman Sachs walaupun didesak. – 14 November, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/1mdb-bayar-caj-kewangan-rm5-bilion-kepada-goldman-sachs-bagi-empoh-5-tahun#sthash.TE8n8HLF.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-