Sunday, November 8, 2015

Shafie enggan ulas 7 pemimpin dalam pemerrhatian, serah kepada parti

OLEH MD IZWAN
Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak menafikan atau mengesahkan sama ada mengetahui tentang senarai 7 pemimpin yang dikatakan dalam siasatan lembaga disiplin Umno, sebaliknya mahu parti membuat pertimbangan sendiri. Gambar fail The Malaysian Insider, 7 November, 2015.

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyerahkan kepada parti untuk menentukan nasibnya dalam Umno selepas dikatakan tersenarai dalam 7 pemimpin yang bakal berdepan tindakan disiplin digantung dari parti.

Naib presiden Umno tidak menafikan atau mengesahkan sama ada mengetahui tentang senarai 7 pemimpin yang dikatakan dalam siasatan lembaga disiplin itu, sebaliknya mahu parti membuat pertimbangan sendiri.

"Itu saya tidak perlu komen, terserahlah," katanya kepada wartawan semasa ditemui di Semporna selepas ditanya mengenai ura-ura namanya berada dalam senarai tersebut.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebelum ini mendedahkan 7 pemimpin Umno sedang berada dalam pemerhatian dan bakal dikenakan tindakan disiplin.

Katanya, mana-mana ahli Umno yang melanggar Perlembagaan parti bakal berdepan tindakan penggantungan.

Beliau berkata, sebaik saja pejabatnya selesai menjalankan siasatan, nama mereka akan dibawa ke pejabat Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dan seterusnya kepada lembaga disiplin parti untuk menentukan bentuk hukuman.

Shafie antara pemimpin Umno yang lantang mengkritik dalam isu membabitkan syarikat bermasalah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan tersingkir bersama-sama bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada Kabinet yang dirombak Julai lalu.

Selain Shafie dan Muhyiddin yang dikatakan bakal digantung, 5 pemimpin lain yang turut berdepan tindakan adalah bekas presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas menteri Tan Sri Zainuddin Maidin, bekas menteri besar Kedah Tan Sri Sanusi Junid, ketua Umno bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Yunos dan Ketua Umno bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

Sumber parti mendedahkan, pejabat setiausaha agung parti Melayu itu kini sedang meneliti kesalahan didakwa dilakukan ahli parti tersebut yang sebelum ini dikatakan membuat kenyataan "tidak masuk akal".

"Penelitian masih berjalan di pejabat setiausaha agung untuk menentukan kesalahan yang dilakukan mereka," kata sumber kepada The Malaysian Insider.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/shafie-enggan-ulas-7-pemimpin-dalam-pemerhatian-serah-kepada-parti#sthash.DfuvOOjq.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-