Monday, November 30, 2015

Siapa jadi pemimpin perlu diberi sokongan penuh, kata Zahid

Hari ini, 7:42 malam Hari ini, 7:47 malam

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata prinsipnya adalah menyokong sesiapa sahaja yang memimpin parti itu dan menghormati setiap keputusan yang dibuat kepimpinan parti, khususnya Majlis Tertinggi (MT).
Tanpa menyebut sebarang nama tetapi dipercayai merujuk kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, katanya, Umno sentiasa mengamalkan pendekatan untuk menerima pandangan yang berbeza daripada bekas tokoh parti itu, namun pandangan mereka janganlah untuk merosakkan parti.

"Kita amat meraihkan pandangan yang berbeza daripada tokoh atau bekas tokoh. Inilah keunikan Umno tetapi tidak adil apabila parti membuat sesuatu keputusan terhadap seseorang, ia dianggap penekanan.

"Mereka harus tanya diri sendiri apakah kita telah lakukan yang terbaik untuk parti atau kita rasakan bahawa diri kita yang terbaik untuk memberi pandangan," katanya yang dipetik portal Berita Harian Online di Valletta, Malta, hari ini.
Sejak MT Umno pada Selasa lalu memecat Ketua Wanita bahagian Gopeng, Datuk Hamidah Osman, selain memutuskan perasmian persidangan ketiga-tiga sayapnya, iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri, minggu depan, tidak dibuat serentak serta tidak akan dirasmikan oleh timbalan presiden, seperti lazimnya, Umno menerima pelbagai bidasan.

Mengambil contoh ketika krisis Umno pada tahun 1998 dan apabila parti itu diharamkan, katanya, semua pemimpin dan ahli tetap bersama kepimpinan ketika itu.

"Walaupun ada perbezaan pendapat ketika itu, namun akhirnya Umno diperkukuhkan. Pendekatannya ialah siapa yang jadi pemimpin, pemimpin itu perlu diberi sokongan penuh.
"Jadi, apabila sesuatu keputusan dibuat, semua perlu menghormatinya. Semangat ini yang harus ada pada bahagian, negeri, nasional dan akar umbi.

"Jangan ada agenda peribadi atau hasrat untuk merosakkan parti. Umno lebih penting daripada agenda peribadi atau perbezaan pendapat," katanya yang dipetik portal itu.

Menurut Zahid, Umno mampu terus mantap dan utuh, kecuali jika ada yang mempunyai hasrat untuk merungkaikan perpaduan atau merosakkan parti.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-