Sunday, November 15, 2015

Tuduhan Husam: Kalau Abdul Hadi nafi pun.........

RAZIATUL HANUM A.RAJAK
15 NOVEMBER 2015
Husam Musa
KUALA LUMPUR - Pas menyifatkan sebarang penafian daripada Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi berhubung tuduhan yang dilemparkan Datuk Husam Musa tidak akan menjernihkan suasana.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penjelasan Husam penting ketika ini bagi merungkai segala tuduhan yang dilemparkan kepada parti dan Abdul Hadi.

"Isunya sekarang begini. Dalam keadaan gelombang ini, sebarang penafian pun mungkin (tidak selesai masalah)... jadi yang pentingnya kita tengok apa tuduhannya.

"Jika Presiden nafi pun... contohnya tentang tuduhan kerjasama dengan Umno, sudah berpuluh kali dah beliau buat penafian tapi benda itu masih diulang dan diulang lagi.

"Jadi, saya fikir kita dengar daripada dia (Husam) dulu," katanya kepada Sinar Online ketika ditemui selepas merasmikan program Nadwah Pemerkasaan Du'at (Nekad) Siri 8.0 di sini, malam tadi.

Sebelum ini, Husam yang juga bekas Naib Presiden Pas mendedahkan Abdul Hadi mengaku pernah merancang untuk bekerjasama dengan Umno bagi menubuhkan kerajaan perpaduan di Selangor namun perkara itu dinafikan Pas Selangor.

Malah beliau juga mengkritik pentadbiran kerajaan Kelantan melibatkan beberapa isu.

Semalam, Pas memutuskan untuk memanggil Husam bagi memberikan penjelasan berhubung dakwaan mengenai Kerajaan Negeri Kelantan selepas menerima laporan dari Pas Kelantan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pas akan panggil Husam]

Menurut Tuan Ibrahim, Husam sepatutnya tidak menimbulkan polemik secara terbuka seperti ini kerana ia tidak menguntungkan Kelantan.

"Kita tidak mahu (terburu-buru). Apa bukti dia membuat tuduhan tersebut? Sebab Presiden tidak pernah membuat kenyataan untuk bersama Umno seperti yang dituduh.

"Sepatutnya dia sebagai ahli parti, kena guna saluran parti dan tidak perlu timbulkan polemik secara terbuka sebab tidak ada apa yang menguntungkan kerajaan negeri Kelantan. Beliau masih Adun di Kelantan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-