Tuesday, November 24, 2015

UMNO berhadapan ujian yang membimbangkan - Hishammuddin

Khairil Ashraf 
 November 24, 2015
Ahli-ahli UMNO juga seharusnya tidak boleh berterusan dengan sindrom penafian.

KUALA LUMPUR : UMNO kini berhadapan dengan ujian kepercayaan dan dugaan keyakinan yang meruncing serta membimbangkan.

Naib Presidennya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn berkata ahli-ahli UMNO juga seharusnya tidak boleh berterusan dengan sindrom penafian.

“Perjumpaan kita hari ini (Konvensyen Pemerkasaan Ummah) merupakan perjumpaan yang penting demi survival perjuangan parti kita sekaligus menentukan jatuh bangunnya nasib anak bangsa, tanah air dan agama kita.

“Kerana keyakinan dan kepercayaanlah yang selama ini membolehkan UMNO berkelangsungan. Kita tidak mungkin berada di puncak kuasa jika tidak kerana keyakinan ahli dan rakyat kepada kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutupan Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Selasa.

Menurut Hishammuddin, secara realitinya, walaupun perpaduan dalam parti itu kuat, jika rakyat mahu menolak UMNO parti itu tetap tersungkur.

“Realitinya biar sekental mana pun ikrar dan sokongan kita kepada pemimpin parti, kepada Majlis Tertinggi atau Perwakilan tetapi jika rakyat tolak kita maka UMNO tetap akan tewas.

“Kerana UMNO hidup bergerak dan berfungsi sebagai pergerakan politik dalam kerangka demokrasi. Maka survivalnya tentang dokongan padu ahli dan rakyat pada parti. Itu kita tidak boleh kita nafikan,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sembrong menambah, parti itu juga seharusnya menerima dua hakikat.

“Pertama semua krisis mesti didepani. Kita tidak boleh lari daripada itu. Ia mesti diselesaikan dengan penyelesaian yang terbaik secara inklusif dan akan menzahirkan kebaikan kepada agama dan bangsa.

“Hakikat kedua ialah krisis adalah proses yang medewasakan kerana krisis mengajar kita bahawa di sebalik pengalaman , segala kekuatan segala apa jua yang kita miliki sebagai sebuah parti kita pasti jauh dari sempurna,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-