Saturday, December 12, 2015

Akar umbi Umno pertikai layanan 'pilih kasih' terhadap pengkritik Najib

OLEH THE MALAYSIAN INSIDER

Akar umbi Umno mempertikaikan sikap pilih kasih terhadap 3 pengkritik tegar Datuk Seri Najib Razak – Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal – yang sehingga hari ini masih mampu bertahan dalam parti tanpa diambil sebarang tindakan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 12 Disember, 2015.
Pemberontakan dalaman terhadap Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak menyebabkan ahli yang lantang bersuara dipecat, dilucutkan jawatan dalam parti, digantung hak memilih dan malah disumbatkan ke dalam penjara.

Namun tiada sebarang tindakan diambil terhadap pengkritik Najib yang paling berkuasa dan berpengaruh – Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas presiden Tun Dr Mahathir Mohamad.

Walaupun dikatakan berisiko kehilangan jawatan dalam parti, namun sepanjang tempoh 2 hari lepas, Muhyiddin masih duduk bersama Najib dan seluruh pemimpin tertinggi parti, menghangatkan suasana dewan Perhimpunan Agung Umno ke-69 tahun ini.

Muhyiddin diakui dihalang daripada berucap pada perhimpunan itu, tetapi itu mungkin satu dugaan kecil yang perlu dihadapi jika hendak dibandingkan dengan pemecatan Datuk Seri Khairuddin Hassan sebagai naib ketua Umno Batu Kawan dan disumbat ke dalam penjara hampir 2 bulan.

Ahli akar umbi yang ditemui The Malaysian Insider menyifatkan perkara yang berlaku ini sebagai satu layanan “double-standard” atau pilih kasih terhadap ahli Umno.

"Kami perwakilan tidak suka mereka mengambil tindakan seperti ini. Selalu orang kecil menjadi mangsa, kerana orang besar mempunyai kedudukan," kata perwakilan Kota Melaka, Md Jamil Ab Wahab.

Walaupun beliau percaya ini adalah satu fenomena biasa dalam semua parti politik di Malaysia, beliau berkata Umno mengambil langkah tambahan menyekat ahli-ahlinya daripada bersikap terbuka tentang apa yang mereka fikirkan terhadap parti.

Semalam, 9 ketua Umno cawangan dari Telok Kemang mengumumkan mereka dilucutkan hak mengundi dan digantung selama 6 tahun selepas mendesak peletakan jawatan Najib.

Mereka mahukan Najib berundur untuk menyelesaikan masalah parti dan mengembalikan maruah Umno.

"Kita tidak nafikan terdapat pilih kasih, tetapi kita mahu apa yang berlaku (kepada mereka yang dihukum) menjadi pengajaran – jangan buat kesilapan sama dua kali," kata perwakilan Tapah, Safri Mohamad Salih.

Kepimpinan Umno perlu bersatu


Beliau seperti mewajarkan perbezaan hukuman yang dikenakan kepada ahli dan pemimpin parti, sambil mengatakan jika tindakan diambil terhadap Muhyiddin dan Dr Mahathir ia hanya akan menyebabkan parti berpecah.

Beliau berkata ini adalah mengapa perwakilan mahu kepimpinan tertinggi bersatu.

Malah, rata-rata pembahas pada perhimpunan agung Umno setakat ini dilihat mendesak kedua-duanya berhenti menyerang Najib dan membantu beliau mengukuhkan parti.

Tiada seorang pembahas pun yang meminta pimpinan tertinggi parti mengambil tindakan tegas terhadap Muhyiddin dan Dr Mahathir, biarpun mereka mendakwa kedua-duanya menyebabkan kerosakan besar kepada parti atas kritikan yang dilemparkan terhadap Najib.

Alias Abdul Ran daripada Umno cawangan Rungkup Kecil berkata, semua pemimpin, tidak kira kedudukan mereka, perlu mengikut peraturan dan kod etika parti.

"Justeru, sebarang tindakan yang diambil terhadap ketua cawangan juga perlu dikenakan terhadap pemimpin peringkat tertinggi jika mereka melanggar peraturan. Layanan kepada pemimpin peringkat tertinggi dan rendah mestilah sama," katanya.

"Muhyiddin dan (Naib Presiden Datuk Seri) Shafie Apdal mungkin cuba melakukan sesuatu yang baharu tetapi saya tidak bersetuju dengan pendekatan mereka. Terlalu banyak perbezaan pendapat menjadikan ia sukar untuk menggerakkan parti."

Seorang ahli Umno bahagian Wangsa Maju yang hanya mahu dikenali sebagai Norhanim berkata, beliau tidak berpuas hati dengan Dr Mahathir, Muhyiddin dan Shafie atas kritikan terbuka terhadap kepimpinan Najib.

Beliau mengesyaki mereka mahu parti itu memecat mereka, yang umum ketahui hanya akan menghakis sokongan parti.

"Jika anda tidak bersetuju dengan ketua anda, anda perlu letak jawatan. Apa gunanya terus bersama? Anda tidak boleh memaksa bos meletak jawatan kerana dia bos.

"Saya juga mempunyai perbezaan pendapat dengan presiden tetapi pada akhirnya dia masih presiden saya."

Najib didesak letak jawatan

Bagaimanapun Rashid, seorang ahli Umno Wilayah Persekutuan berkata isu siapa dihukum dan tidak, tidak penting kepadanya.

Beliau hanya mahu Najib berundur, dengan mengatakan presiden parti itu tidak mempunyai integriti.

"Tiada bezanya. Semua mata tertumpu pada presiden. Tolak ke tepi isu 1Malaysia Development Berhad.

"Mari bercakap tentang integriti dan isu-isu mendesak yang membebankan rakyat seperti GST (cukai barangan dan perkhidmatan) dan kos sara hidup yang tinggi," kata peniaga berusia 40 tahun itu

Rashid berkata, beliau menjadi penyokong tegar Umno sejak remaja, tetapi peristiwa terkini yang berlaku dalam negara menyebabkan beliau begitu marah sekali gus menolak jemputan menjadi seorang perwakilan pada perhimpunan tahun ini.

"Parti akan lebih baik jika presiden sekarang (Najib) meletak jawatan. Beliau tidak mempunyai integriti lagi.

"Malah, perhimpunan tahun ini tidak begitu meriah seperti tahun lepas kerana terdapat cukup ramai bilangan ahli yang berkongsi sentimen saya," kata bapa kepada 2 anak itu.

Beliau bimbang ramai akan menjadi pengundi atas pagar dalam pilihan raya umum akan datang kerana mereka sudah hilang kepercayaan ke atas Umno.

"Jika PAS mampu mendapat sokongan dalam 2 tahun akan datang, mereka (pengundi atas pagar) mungkin akan mengundi parti itu. Tetapi tidak Umno. Ini termasuk ahli keluarga terdekat saya," kata Rashid. – 12 Disember, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/akar-umbi-umno-pertikai-layanan-pilih-kasih-terhadap-pengkritik-najib#sthash.dDppVjUt.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-