Thursday, December 3, 2015

Apa motifnya tidak benarkan Timbalan Presiden Umno berucap dalam PAU.......?

PAU: Timbalan tak berucap memang pelik

RAZIATUL HANUM A.RAJAK
2 DISEMBER 2015

Muhyiddin

SHAH ALAM – Penganalisis politik melihat sejarah baharu akan tercipta sekiranya Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak diberi ruang berucap pada sesi penggulungan di Perhimpunan Agung Umno (PAU), minggu depan.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa UUM, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, Umno bergerak secara tradisi, namun apabila tradisi dipinggir, maka parti itu sedang berubah.

“Sangat pelik kalau timbalan presiden tidak berucap. Dalam sejarah ini kali pertama timbalan presiden tidak dibenar berucap untuk perasmian sayap dan penggulungan.

“Walaupun dalam perlembagaan tidak sebut mesti ada ucapan timbalan presiden tapi selalunya parti bergerak berdasarkan tradisi. Parti tidak boleh pinggirkan tradisi itu.

“Dalam konteks ini, jika tidak dibenarkan berucap maka, ia sudah di luar daripada tradisi Umno,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Sebelum ini, Majlis Tertinggi (MT) Umno memutuskan Muhyiddin tidak akan merasmikan mesyuarat perwakilan ketiga-tiga sayap Umno.

Difahamkan Muhyiddin juga sudah dimaklumkan beliau tidak terlibat dalam sesi penggulungan PAU kali ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: ‎'Saya hadir PAU tapi sebagai 'tunggul'']

Melihat senario semasa itu, Azizuddin berkata, sekiranya ‘mood’ di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini melibatkan sembilan ketua cawangan Umno Bahagian Telok Kemang dibawa ke perhimpunan nanti, suasana PAU minggu hadapan mungkin akan tegang.

“Reaksi ahli Umno terutama penyokong Muhyiddin terhadap kemungkinan beliau tidak boleh berucap kita tidak boleh jangka. Hari ini pun sudah tegang.

“Saya rasa mungkin akan agak panas perhimpunan itu sekiranya Muhyiddin tidak dibenar bercakap. Bukan sahaja Muhyiddin, Shafie Apdal (Naib Presiden Umno) juga sama,” katanya.

Namun, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa UUM, Prof Madya Dr Mohd Fuad Othman berpendapat ahli-ahli Umno sudah matang dan beliau yakin tiada penentangan secara nyata di dalam dewan sekiranya hak Muhyiddin berucap pada sesi penggulungan dinafikan.

“Ucapan penggulungan timbalan presiden itu norma bukan peraturan.

“Mungkin kali ini, MT Umno melihat perlu adanya perubahan,” katanya.

Perhimpunan Agung Umno akan berlangsung minggu hadapan di PWTC.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-