Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Monday, December 28, 2015

Asri: Jika akal tak bijak, apa perlu jadi pak menteri

Saranan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan agar rakyat melakukan dua kerja bagi menampung kos sara hidup terus dikritik pelbagai pihak.

Tidak terkeculi, kenyataan tersebut turut mendapat kritikan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam status di laman Facebooknya hari ini.

Meskipun tidak menyebut nama menteri berkenaan secara langsung, Asri dipercayai merujuk kenyataan Ahmad semalam yang meminta supaya rakyat Malaysia melakukan dua pekerjaan sehari.

Menurut Asri seseorang menteri seharusnya bijak dan waras bagi melayakkannya diberikan pelbagai kelebihan termasuk gaji dan keistimewaan lain.

Selain itu katanya, seseorang menteri juga sepatutnya mencari penyelesaian untuk meringankan beban rakyat dan bukan menambahkan lagi beban mereka.

“Menteri itu sepatutnya mencari penyelesaian untuk rakyat, bukan membuat cadangan yang membebankan lagi rakyat.

“Menteri itu hendaklah seorang yang sangat waras, bijak lagi tangkas menyelesaikan permasalahan rakyat dan negara.

“Jika akal yang bijak dan tangkas tidak diperlukan untuk menjadi seorang 'pak menteri', maka apakah kelebihan jawatan itu sehingga diberikan gaji dan pelbagai peruntukan yang istimewa untuknya?," soal Asri dengan sinis di laman Facebook.

Sebuah portal semalam melaporkan saranan Ahmad supaya rakyat melakukan dua kerja bagi menampung kos hidup di negara lain.

Meskipun dikritik keras kerana cadangan tersebut, Ahmad Maslan sekali lagi tampil mempertahankan kenyataan itu dan mengatakan beliau sendiri melakukan tiga pekerjaan dalam kerajaan dan partinya Umno.

“Saya ada 3 kerja: anggota parlimen, timbalan menteri, ketua penerangan Umno. Ramai dah di Malaysia yang buat #2Kerja," katanya.

“Berusaha gigih cari rezeki yang halal,” kata Ahmad Maslan.