Thursday, December 24, 2015

Barangan dalam rumah milik bekas ketua Wanita Umno Gopeng disita

Perintah sita dikeluarkan selepas bekas Ketua Wanita Umno Bahagian Gopeng Datuk Hamidah Osman gagal melunaskan ganti rugi RM200,000 dalam satu kes saman fitnah kepada Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang memenangi kes itu terhadapnya, kata peguam Nadzratun Naim Hammad Azizi. Gambar fail The Malaysian Insider, 23 Disember, 2015.

Barangan dalam rumah milik bekas Ketua Wanita Umno Bahagian Gopeng Datuk Hamidah Osman di Kampung Tersusun Jalan Gopeng di Ipoh, disita kerana beliau gagal melunaskan bayaran ganti rugi RM200,000 dalam satu kes saman fitnah pada 2011.

Peguam kepada Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, Nadzratun Naim Hammad Azizi berkata perintah sita itu dikeluarkan selepas Hamidah gagal membayar ganti rugi berkenaan kepada Khalid yang memenangi kes saman fitnah terhadap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Rapat itu.

Nadzratun berkata tindakan sita itu dilakukan berdasarkan writ penyitaan dan penjualan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam kepada bailif Mahkamah Tinggi Ipoh, katanya kepada Bernama di Ipoh malam ini.

Khalid turut diwakili peguam Sharifah Nur Asmaa' Syed Azman.

Pada 27 April lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan Hamidah membayar jumlah berkenaan kepada Khalid atas penerbitan artikel yang bertajuk "Umat Islam Perlu Bersatu" di dalam blognya pada sekitar Januari 2010 yang mana dalam itu, Hamidah didakwa memuatkan gambar 'superimposed' Khalid berpakaian ala seorang paderi.

Sementara itu, Hamidah ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu. – Bernama, 23 Disember, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/barangan-dalam-rumah-milik-bekas-ketua-umno-gopeng-disita#sthash.9IVy1pG0.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-