Friday, December 11, 2015

Delima Dr Mahathir dalam Umno

OLEH SHERIDAN MAHAVERA
Persengketaan antara Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dan Dr Mahathir Mohamad, mungkin paling sukar dikawal berbanding memperbaiki keretakan dengan pengkritik dalam parti atau saingan politiknya PAS. Gambar fail The Malaysian Insider, 11 Disember, 2015.

Kira-kira satu pertiga daripada ucapan dasar Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak pada perhimpunan agung parti semalam adalah tentang memperbaiki keretakan, antara dirinya dan pengkritiknya dalam Umno, dan antara parti itu dan saingan politiknya PAS.

Tetapi daripada semua itu, persengketaan antara beliau dan penyokong yang kini bertukar menjadi musuh beliau, Tun Dr Mahathir Mohamad, mungkin paling sukar dikawal.

Ketika Najib membuat satu lagi pengakuan tulus untuk memperbaiki hubungan dengan bekas perdana menteri dan presiden Umno itu, terdapat tanda-tanda di kalangan akar umbi parti yang Dr Mahathir bertindak melampau dalam kritikan beliau terhadap Najib.

Ini menyebabkan dilema di kalangan akar umbi Umno.

Walaupun mereka masih menghormati Dr Mahathir, timbul perasaan kempen beliau menggulingkan Najib menghakis sokongan asas kepada parti di kalangan golongan Melayu tua di luar bandar.

Jadi, walaupun mereka mengatakan sayang dan hormat kepada Dr Mahathir, tidak dapat tidak, mereka merasakan beliau merupakan satu ancaman kepada bank undi Umno.

"Apabila beliau mula-mula menyerang Najib, semua orang beri perhatian," kata Abdul Malik Saad, ahli lama Umno bahagian Alor Star di Kedah.

"Tetapi kemudiannya, beliau asyik mengulang perkara yang sama, dan ahli mula sedar, perangai ini pelik. Sekarang ini, kami tidak berapa peduli apa yang beliau katakan," kata ketua cawangan Alor Melintang itu.

Kempen Dr Mahathir untuk menjatuhkan Najib sebagai presiden menyaksikan beliau cuba menjalin pakatan yang janggal dengan pihak yang sebelum ini menyalahkan beliau kerana memusnahkan institusi demokrasi di negara ini.

Pada Ogos, beliau cuba mendapatkan sokongan daripada peserta perhimpunan Bersih 4, yang bertujuan menggesa pembaharuan dilakukan terhadap sistem pilihan raya yang mereka dakwa punah semasa Dr Mahathir berkuasa.

"Ahli parti tak lupa, semasa zaman Tun, sesiapa yang melawan beliau akan segera ditendang keluar parti," kata Malik.

Tetapi, Najib dan seluruh ahli Majlis Tertinggi tidak memikirkan tentang itu.
Dalam ucapan dasarnya semalam, Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak berkata beliau tetap teguh menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1987, ketika bekas perdana menteri itu menghadapi saat mencabar dalam kepimpinannya.Gambar fail The Malaysian Insider, 11 Disember, 2015.

Dalam ucapan dasarnya semalam, Najib mengajak Dr Mahathir mengenang kembali bagaimana beliau menghulurkan sokongan kepadanya pada 1987, ketika bekas perdana menteri itu juga menghadapi saat mencabar dalam kepimpinannya.

"Pada tahun 1987, di persimpangan getir untuk menyebelahi pucuk pimpinan Umno pada masa itu, dengan penuh kasih dan hormatnya, (saya) tetap memilih untuk taat dan bersetia, kepada kepimpinan Dr Mahathir, dalam mempertahankan kedudukannya ketika itu, sebagai presiden Umno, sekaligus mengekalkan dirinya sebagai perdana menteri," katanya.

Mengelirukan pengundi

Walaupun sesetengah pemimpin merasakan mereka boleh mengabaikannya, kata-kata Dr Mahathir yang menusuk hati menjejaskan sokongan terhadap parti, kata Kasbor Kasron daripada Umno bahagian Tanjung Piai di Johor.

"Pengaruh beliau masih kuat di kalangan rakyat biasa dan mereka goyah akibat apa yang dikatakannya. Orang keliru, dan kami berada dalam dilema, kerana kami terpaksa bersusah payah menyangkal dakwaan Tun," katanya.

Di kalangan pengundi Melayu warga tua terutamanya, mereka masih melihat yang baik-baik saja dalam pemerintahan Dr Mahathir, kerana beliau banyak membawa perubahan kepada negara melalui dasar perindustrian yang pesat.

"Kami bimbang kesan tindakan beliau, sebab itu kami mahu pemimpin kami bekerja bersama-sama menyatukan parti," kata Kasbor.

Tindakan Dr Mahathir juga menyebabkan pemimpin akar umbi seperti Kasbor meragui kata-kata beliau yang kononnya mahu menyelamatkan parti dengan menggesa Najib meletak jawatan.

Seorang lagi pemimpin akar umbi dari Tasik Gelugor, Pulau Pinang, Nor Azman Othman, berkata ahli parti makin tidak senang dengan kempen Dr Mahathir kerana ia pada dasarnya bertentangan dengan kehendak parti.

Pada 2009, Umno memulakan pemilihan secara langsung, di mana semua ahli Majlis Tertinggi, termasuk presiden, dipilih di peringkat cawangan, sekali gus meluaskan demokrasi dalam parti.

"Jika kami perlu menukar pemimpin, kami akan lakukannya melalui pemilihan. Presiden kami adalah pilihan kami.

"Jika beliau mahu memaksa presiden kami meletak jawatan, ia seperti tidak mengendahkan pilihan kami," kata Nor Azman. – 11 Disember, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/dilema-dr-mahathir-dalam-umno#sthash.JG8Luh9u.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-