Saturday, December 5, 2015

Derita setahun berakhir, mangsa banjir dapat rumah kekal

Mohd Azizi Ahmad, 53, bersama isterinya bergambar di hadapan rumah barunya di Kampung Belian, di sini. - Foto TRP/Mohd Zulhairie

TUMPAT, 5 Disember:
Mangsa banjir di Kampung Kok Jerat akhirnya tersenyum gembira apabila penderitaan hampir setahun berakhir apabila mendapat rumah kekal.

Pengawal keselamatan, Mohd Azizi Ahmad, 53, berkata dia berasa gembira dan berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberikan mereka rumah.

Katanya, dengan adanya rumah itu, kini dia berasa tenang untuk tinggalkan isterinya seorang diri ketika dia keluar bekerja.

“Saya bekerja sebagai pengawal keselamatan, kerja pula tidak tentu masa dan saya seringkali bimbangkan keadaan isteri yang tinggal sendirian di rumah lama yang sudah runtuh.

“Sekarang saya sudah tidak bimbang lagi dan apabila melihat rumah yang cantik ini, saya tidak sangka kami dapat juga merasa tinggal di tempat yang selesa,” katanya ketika ditemui The Rakyat Post.

BACA: Mangsa banjir akui belum dapat rumah, mungkin Kelantan dilanda banjir lagi

Pada 6 Oktober lalu, The Rakyat Post melaporkan sekeluarga mangsa banjir terpaksa tinggal di bahagian dapur rumahnya selama 10 bulan selepas dijanjikan rumah kekal yang bakal disiapkan 3 bulan selepas banjir.

Dalam laporan itu, Azizi dan isterinya, terpaksa tinggal di bahagian dapur rumahnya kerana keseluruhan rumahnya runtuh.

Rumah asal yang didiami Mohd Azizi Ahmad, bersama isterinya di Kampung Kok Jerat, Tumpat.Foto TRP/Mohd Zulhairie

Malah katanya, sepanjang tinggal dirumah itu, kakinya pernah dihempap dinding yang roboh ketika dia sedang tidur bersama isterinya.

“Saya dan isteri tidak lagi perlu bimbangkan dinding roboh, dipatuk ular atau disengat binatang berbisa apabila tidur malam kerana rumah ini jauh lebih selesa berbanding tempat yang kami tinggal sebelum ini.

“Saya dengan isteri hanya tinggal sehelai sepinggang dan apabila diberitahu kami hanya perlu bawa diri masuk ke rumah ini saya berasa sangat gembira dan bersyukur,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, kesemua mangsa banjir yang mengalami kerosakan rumah 100 peratus sudah memperoleh rumah masing-masing.

Katanya, sebanyak 13 buah rumah yang mengalami kerosakan 100 peratus di daerah ini sudah siap sepenuhnya.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/12/05/derita-setahun-berakhir-mangsa-banjir-dapat-rumah-kekal/#ixzz3tPGKq1kw

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-