Friday, December 4, 2015

Dewan Rakyat luluskan RUU Majlis Keselamatan Negara dengan undian suara

OLEH MOHD FARHAN DARWIS
Published: 3 December 2015 11:27 PM

Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara akan memberikan kuasa kepada anggota yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mengarahkan penahanan individu tanpa waran apabila sesuatu kawasan diisytiharkan sebagai kawasan keselamatan. – Gambar Reuters, 3 Disember 2015.

Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dikritik memberi kuasa penuh kepada perdana menteri, diluluskan malam ini melalui undian suara dengan majoriti ahli Parlimen menyokong.

RUU yang dibentangkan hanya dalam tempoh 2 hari itu memberikan kuasa kepada anggota MKN yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mengarahkan penahanan mana-mana individu tanpa waran apabila sesuatu kawasan diisytiharkan sebagai kawasan keselamatan.

Ketika perbahasan di peringkat jawatankuasa, Ahli Parlimen Padang Serai (PKR) N. Surendran berkata, RUU itu didraf dengan sangat lemah dan menggesa ianya ditarik balik.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bandar Kuching (DAP) Chong Chieng Jen menggesa agar ahli Parlimen Sarawak mempertahankan hak negeri itu, dan berkata kerajaan Pusat berupaya mengatasi kuasa kerajaan negeri dengan RUU berkenaan.

"Jangan kita izinkan hak Sarawak dihakis.

"Dengan nasihat ketua menteri Sarawak, jangan kita tidur lagi," katanya.

Sebelum itu, RUU berkenaan diluluskan di peringkat dasar Parlimen, dengan majoriti ahli Dewan Rakyat menyokong usul yang dibawa Putrajaya itu.

Seramai 107 ahli Parlimen menyokong, manakala 74 ahli Parlimen menolak RUU itu diluluskan ketika sesi pengundian belah bahagi dilakukan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim ketika menggulung perbahasan RUU itu diperingkat dasar berkata, undang-undang itu bukan bertujuan untuk mengisytiharkan sesuatu kawasan itu sebagai kawasan darurat, sebaliknya hanyalah sebagai kawasan keselamatan.

"RUU ini memberi kuasa-kuasa kepada MKN untuk menubuhkannya secara rasmi. Nak pastikan supaya dapat menyelaraskan maklumat.

"Agensi pasukan keselamatan dalam kawasan keselamatan mempunyai kuasa yang sama, Yang Berhormat faham ke maksud saya. Bila kita isytiharkan itu kawasan keselamatan itu peraturan.

"Ini keselamatan bukan darurat, darurat lain. Kalau hendak isytihar perintah berkurung, bukan darurat. Tetapi kita tiap-tiap hari kita umum di Esszone, itu kita guna kuasa polis," kata Shahidan, merujuk kepada kawasan keselamatan yang ditubuhkan di Timur Sabah susulan pencerobohan pengganas Kesultanan Sulu.

Shahidan juga turut menegaskan, Putrajaya sudah mengadakan perbincangan dengan pihak Jabatan Peguam Negara sebelum membentangkan RUU berkenaan.

"RUU ini tidak bercanggah dengan Perlembagaan. Ianya dirujuk kepada peguam negara, dan beliau beritahu ia tidak bercangah Perlembagaan," katanya, yang juga ahli Parlimen Arau. – 3 Disember 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/dewan-rakyat-luluskan-ruu-majlis-keselamatan-negara-dengan-undian-suara#sthash.fScrBjoE.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-